PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menggesa semua pihak agar tidak berkongsi sebarang kandungan berhubung insiden tikaman yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini semalam.
Komunikasi Korporat MCMC berkata, ia termasuk menghantar semula dan memuat naik sebarang termasuk gambar atau video, yang memaparkan mangsa, pelajar lain, atau lokasi kejadian.
“Sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya.
“Perbuatan menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, serta menjejaskan siasatan Polis Diraja Malaysia,” katanya dalan kenyataan hari ini.
MCMC berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu, mangsa berusia 16 tahun ditemui berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman pada badan yang menyebabkannya meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, pihaknya kemudian menahan pelajar lelaki berusia 14 tahun selain merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE