JASIN – Kumpulan nelayan di Jeti Anjung Batu, Seri Minyak di sini terpaksa menahan bau busuk ekoran masalah pencemaran dipercayai berpunca daripada kumbahan sebuah premis berhampiran yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu.
Pengerusi Nelayan Anjung Batu, Mustazam Bakar, 54, berkata, pelbagai aduan telah dikemukakan kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan wakil rakyat, namun masalah tersebut masih berulang.
Katanya, keadaan menjadi lebih ketara ketika air surut apabila air di kawasan muara bertukar warna hitam selain mengeluarkan bau busuk yang kuat.
“Apabila air pasang, masalah ini kurang kelihatan, tetapi apabila air surut, air menjadi hitam dan berbau sangat kuat sehingga mengganggu aktiviti nelayan.
“Kami percaya pencemaran ini berpunca daripada sistem kumbahan sebuah sekolah yang terletak kira-kira 300 meter dari jeti nelayan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.
Mustazam berkata, JPS sebelum ini membantu melepaskan aliran air ke laut melalui pembukaan pintu air, namun langkah itu hanya bersifat sementara dan kesan pencemaran berpindah ke kawasan muara.
Jelasnya, pencemaran berterusan itu turut menjejaskan kepah dan kupang yang menjadi sumber pendapatan nelayan di kawasan tersebut.
“Sistem yang ada dipercayai tidak berfungsi dengan sempurna menyebabkan kumbahan bertakung, bertukar hitam dan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.
“Kami harap JAS dapat menyiasat dan mengambil tindakan tegas agar masalah ini dapat diselesaikan,” ujarnya.
Sementara itu, nelayan, Mohd. Salleh Omar, 58, berkata, pencemaran itu memberi kesan kepada ternakan kupang yang diusahakan nelayan tempatan.
Katanya, air yang tercemar menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pendapatan nelayan sekiranya tiada penyelesaian menyeluruh.














