PETALING JAYA – Cubaan dua lelaki tempatan melarikan diri daripada pemeriksaan polis berakhir dengan penahanan selepas kenderaan dinaiki mereka dipandu secara berbahaya sehingga merempuh kereta peronda polis dan dua kenderaan awam dalam kejadian malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian bermula kira-kira pukul 11.57 malam apabila pihaknya menerima laporan mengenai sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina yang enggan berhenti untuk pemeriksaan di Persiaran Dagang, Sri Damansara.
Menurut beliau, kenderaan tersebut kemudian dipandu secara berbahaya melalui beberapa laluan sebelum berjaya dikesan di Jalan Sungai Pusu, Gombak.
“Semasa cubaan menahan suspek dilakukan, pemandu bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kereta peronda polis sebelum melarikan diri semula.
“Suspek turut melanggar dua kenderaan awam yang diparkir di tepi jalan sebelum berjaya diberkas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang merupakan pemandu dan penumpang kenderaan itu ditahan bagi membantu siasatan.
Jelasnya, hasil semakan rekod mendapati pemandu mempunyai 23 rekod berkaitan dadah, empat rekod jenayah serta satu rekod orang dikehendaki.
“Penumpang pula mempunyai lapan rekod dadah, 10 rekod jenayah dan enam rekod lain-lain kesalahan,” katanya.
Menurut Shamsudin, kedua-dua suspek merupakan rakan, manakala motif mereka melarikan diri masih dalam siasatan.
Katanya, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek juga masih dalam proses.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai kejadian itu.
“Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














