SHAH ALAM – Selain menggunakan peruntukan sebagai Ahli Parlimen, Datuk Seri R. Ramanan turut mengeluarkan wang sendiri bagi membantu penduduk Kampung Melayu Subang yang terjejas akibat banjir kilat petang semalam.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, bantuan berkenaan merangkumi makanan, tilam dan barangan keperluan asas lain bagi meringankan beban mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.
“Jumlah mangsa ini ramai. Tapi jangan bimbang kerana selain peruntukan sebagai Ahli Parlimen, saya turut gunakan duit sendiri untuk memberikan bantuan kepada mangsa. Antara barangan yang diberikan kepada mangsa seperti bantuan makanan, tilam dan barang keperluan asas lain kepada mangsa,” katanya selepas melawat mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siatan, di sini hari ini.
Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya berjumpa dengan setiap pemilik rumah yang terjejas bagi mengenal pasti bentuk bantuan tambahan yang diperlukan.
“Saya telah arahkan pegawai untuk berjumpa dengan setiap pemilik rumah yang terjejas untuk mengetahui bantuan apa lagi yang diperlukan mereka,” ujarnya.
Tambahnya, kerja-kerja pembersihan di beberapa kawasan terjejas telah dilakukan dan akan diteruskan sehingga semua kawasan banjir selesai dibersihkan. – KOSMO! ONLINE
















