PETALING JAYA – “Terima kasih hadirkan jiran serta sahabat yang baik menyelamatkan anak kami.”
Itu luahan seorang penduduk Kampung Melayu Subang yang bersyukur anak-anaknya berjaya diselamatkan ketika rumah mereka dinaiki air banjir dengan cepat, semalam.
Menerusi perkongsian di media sosial, pemilik akaun @Nayyarra_diem berkata, ketika kejadian, anak-anaknya berada di rumah, sementara dia dan suami keluar bekerja.
Menurutnya, kediaman mereka yang terletak berhampiran sungai menyebabkan air naik dengan pantas sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak.
“Masa kejadian air naik, anak-anak ada di rumah. Kami keluar bekerja. Air naik dengan cepat, rumah tepi sungai. Hanya Allah saja harapan kami,” katanya.
Perkongsian itu mengundang perhatian pengguna media sosial yang rata-rata turut mendoakan penduduk terjejas.
“Semoga dipermudahkan segala urusan kepada semua mangsa banjir terlibat,” ujar @Zulfadly_es.
“Semalam ramai diuji dengan banjir. Hari ini mungkin air mula surut, tapi kesedihan dan kepenatan mereka belum tentu reda,” komen @Azraisjamalproperty.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat di sekitar Shah Alam termasuk Kampung Melayu Subang petang semalam menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Jasonyew berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran, purata hujan yang direkodkan petang semalam adalah sekitar 116.5 milimeter.
Jelas beliau, jumlah tersebut adalah bersamaan purata hujan untuk tempoh dua hingga tiga hari. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
















