KULIM – Pengalaman berdepan banjir kilat setiap kali hujan lebat memaksa penduduk di beberapa kawasan rendah di daerah ini membuat persiapan rapi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda.
Antara kawasan yang dikenal pasti sering dilanda banjir kilat ialah Taman Tiram 2, Taman Tunku Putra, Taman Angsana, Taman Selasih, Taman Tiong dan Taman Seri Kulim selain beberapa kampung berhampiran.
Bagi penduduk Taman Seri Kulim, mereka sudah mengambil langkah awal bagi menghadapi musim tengkujuh musim ini termasuk membina tembok penghadang selain mengumpul kepingan papan lapis.
Seorang penduduk, Harani Hashi, 72, berkata, kawasan perumahan mereka sudah beberapa tahun berdepan masalah banjir kilat, terutama apabila hujan lebat berterusan melebihi dua jam.
Katanya, keadaan itu berlaku apabila paras air Sungai Tebuan yang mengalir di tengah taman berkenaan meningkat sehingga melimpah ke kawasan perumahan.
“Jika hujan lebat tanpa henti, kawasan ini akan dilanda banjir kilat lebih-lebih lagi apabila air sungai melimpah.
“Jika hujan berterusan melebihi dua jam, air boleh memenuhi halaman rumah dan sekiranya parasnya semakin tinggi, air akan memasuki rumah sehingga ke paras betis,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, pengalaman berulang kali berdepan banjir menyebabkan kebanyakan penduduk mengambil inisiatif termasuk membina tembok kecil setinggi kira-kira 0.5 meter di hadapan pintu rumah bagi menghalang air daripada memasuki kediaman.
Selain itu, penduduk turut menyimpan beberapa keping papan lapis yang dipotong mengikut ukuran pintu sebagai langkah tambahan untuk mengurangkan risiko air melimpah ke dalam ruang rumah.
“Jika melihat paras air semakin meningkat dan berkemungkinan melepasi tembok di pintu masuk, kami akan memasang papan lapis di hadapan pintu bilik sebagai langkah perlindungan tambahan.
“Kami juga menyimpan batu bata dan tong kecil untuk dijadikan alas bagi meninggikan kedudukan peti sejuk, mesin basuh serta sofa supaya tidak terkena air banjir,” katanya.
Jelasnya, persediaan berkenaan sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu bagi menghadapi kemungkinan banjir kilat sepanjang musim tengkujuh, selain berusaha meminimumkan kerugian sekiranya air melimpah ke dalam rumah.
















