fbpx
KERJASAMA BN Plus dengan PN memberi kelebihan kepada gabungan tersebut untuk memenangi lebih banyak kerusi pada PRN Melaka 14 November ini.

‘Transfer vote’ ‘senjata’ BN dapat majoriti mudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) dijangka mampu mengekalkan kuasa di Melaka dengan memperoleh majoriti mudah sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menerusi kerjasama BN Plus.

Penganalisis politik, Dr. ­Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi menghasilkan pemindahan undi dua hala atau transfer vote yang mampu memberikan kelebihan kepada gabungan berkenaan.

Menurut beliau, berdasarkan jangkaan awal, BN Plus berpotensi menguasai 24 daripada 28 kerusi DUN, dengan BN dijangka memenangi 21 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi.

“Jangkaan awal saya berdasarkan kepada kerjasama BN Plus akan menghasilkan kemenangan 24 kerusi menerusi transfer vote dari dua arah iaitu BN ke PN dan PN ke BN. Jangkaan ini melibatkan 21 kerusi akan dimenangi BN manakala tiga lagi kerusi akan dikuasai PN,” katanya kepada ­Kosmo!

Muhammad Tawfik berkata, keberkesanan strategi pemindahan undi itu juga menarik untuk diperhatikan khususnya di kawasan sebelum ini menyaksikan kemenangan majoriti tipis.

“Transfer vote ini bukan saja merupakan satu usaha memenangkan kembali BN, tetapi akan melonjakkan kembali jumlah majoriti tipis di 11 kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh BN dalam PRN Melaka pada tahun 2021,” katanya.

MOHAMMAD TAWFIK

Menurutnya, antara kerusi panas yang perlu diberikan perhatian ialah Bukit Katil, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Serkam, Machap Jaya dan Tanjung Bidara.

Katanya, Tanjung Bidara menjadi tumpuan apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mempertahankan kerusi dimenanginya dengan majoriti hanya 364 undi pada PRN 2021.

Sementara itu, Bukit Katil menyaksikan persaingan membabitkan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Adly Zahari dalam pertandingan empat penjuru.
Pengkalan Batu dan Serkam turut menjadi kawasan yang menarik perhatian apabila masing-masing mencatatkan majoriti kemenangan hanya 131 dan 79 undi pada pilihan raya lalu.

Mengulas mengenai kepimpinan parti, beliau berkata, pengumuman calon poster boy turut memainkan peranan penting ke­rana pengundi bukan sahaja menilai individu yang bertanding, malah kewibawaan kepimpinan dan hala tuju pentadbiran negeri.

Katanya, Ab Rauf mewakili kesinambungan kepimpinan BN, manakala Adly menawarkan pengalaman sebagai bekas Ketua Menteri dan digambarkan sebagai calon Ketua Menteri Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, beliau berpandangan populariti pemimpin semata-mata tidak mencukupi kerana prestasi pentadbiran, kredibiliti calon tempatan serta isu kehidupan rakyat turut mempengaruhi pertimbangan ­pengundi.

Dalam konteks itu beliau berkata, Ab Rauf mempunyai ­pakej lengkap dari segi populariti, pengalaman pentadbiran, usaha menarik pelaburan serta penyelesaian pelbagai isu rakyat tempatan.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan tiga nama besar berdepan risiko tewas sekiranya strategi pemindahan undi BN Plus menjadi seperti yang dijangkakan.
Mereka ialah Adly Zahari di Bukit Katil, bekas Exco Melaka, Norhizam Baktee di Pengkalan Batu serta penyandang Machap Jaya, Ngwee Hee Sem.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN