BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) yakin persefahaman strategik bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dapat diterima oleh akar umbi kedua-dua gabungan parti tersebut.
Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, BN dan PN telah menandatangani perjanjian persefahaman untuk menggerakkan semua jentera dan juga para pengundi supaya mengundi calon-calon atas persetujuan bersama.
“Pada kali ini kita absahkan supaya mobilisasi dari segi jentera itu dapat berjalan dengan baik. Kita tidak menolak akan ada permasalahan ya di peringkat akar umbi kerana mungkin dari segi keserasian itu agak bermula lewat ya.
“Maka kita akan laksanakan di mana pemimpin-pemimpin kedua-dua parti gabungan, BN dan PN akan turun ke kawasan Dewan Undangan Negeri dan kita akan melakukan penyelarasan gerak kerja jentera di peringkat lokaliti, PDM dan juga DUN,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Dewan Perdana, Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini.
Katanya, BN terbuka menawarkan kedudukan dalam kerajaan negeri kepada wakil PN sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRN Melaka. – KOSMO! ONLINE















