PETALING JAYA – Pelakon Aniq Suhair bersyukur selepas berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di City University baru-baru ini.
Aniq atau nama sebenarnya Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh, 26, berkata, sepanjang tiga tahun mengejar untuk menggenggam ijazah, dia tidak pernah menangguhkan walaupun satu semester meski dalam masa sama sibuk dengan kerjaya sebagai anak seni.
“Alhamdulillah, secara rasminya bergelar graduan!
“Tiga tahun, tiada satu semester pun yang tertangguh dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Dia juga mengakui perjalanan untuk menggenggam segulung ijazah sebenarnya bermula lebih awal namun terpaksa terhenti seketika atas komitmen terhadap kerjaya seni.
Bagaimanapun, kesibukan dalam dunia seni tidak sesekali memadamkan azamnya untuk menggenggam ijazah idaman.
“Saya menamatkan pengajian asasi pada usia 19 tahun, selepas itu, saya mula terlibat secara aktif dalam industri lakonan.
“Peluang demi peluang hadir, tawaran kerja terus datang tanpa henti dan hasrat menyambung pelajaran terpaksa diketepikan buat seketika tetapi tidak pernah melupakan impian untuk memiliki segulung ijazah,” katanya lagi.
Mengimbas kembali cabaran yang dihadapi, dia mengakui perjalanannya tidak mudah tambahan pula perlu membahagikan masa antara kerjaya dan akademik.
“Alhamdulillah, bukan satu perjalanan yang mudah.
“Antara menghafal dialog, menjiwai karakter, mengejar jadual penggambaran, menguruskan bisnes dan menyiapkan tugasan, masa menjadi cabaran terbesar.
“Ada ketika penat, demam dan tekanan menguji namun saya bersyukur berjaya melaluinya,” jelasnya.
Dalam masa sama, dia menegaskan pendidikan sentiasa menjadi keutamaannya meski sudah meraih populariti sebagai anak seni.
“Saya sentiasa percaya, sejauh mana pun kita melangkah dalam kerjaya, pendidikan tetap penting. Ilmu bukan sekadar bekal mencari rezeki tetapi cahaya yang memandu perjalanan hidup.
“Terima kasih mama dan abah atas doa yang tidak pernah putus, penyarah, pihak universiti atas bimbingan serta kefahaman serta pengurus saya sepanjang perjalanan ini.”
“Enam tahun dalam industri, tiga tahun tempoh pengajian, pengajaran yang tidak terkira banyaknya dan satu pencapaian yang sangat bermakna. Alhamdulillah, setiap usaha itu sangat berbaloi,” ujarnya.
Pernah dikatakan meghilang dari dunia seni, dia sebelum ini mengambil keputusan untuk berehat seketika demi menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum kembali aktif berlakon dan melakukan kerja-kerja seni lain. – KOSMO! ONLINE
















