PETALING JAYA – Warga Shah Alam merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan isu banjir yang sering berlaku di daerah itu sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan.
Rayuan tersebut dikongsi oleh seorang pengguna di aplikasi Threads yang dikenali sebagai Istaqazthetic.
“YAB @anwaribrahim_my mohon perhatian isu banjir dan kesesakan teruk di sekitar TTDI Jaya, Seksyen 13, Bukit Jelutong dan kawasan berdekatan.
“Sehingga kini masih ramai rakyat Malaysia yang belum sampai ke rumah selepas pulang bekerja,” tulisnya.
Mengulas lanjut, individu itu mendakwa masalah banjir iti juga menyebabkan masa perjalanan balik kerja warga Shah Alam bertambah lama.
“Ada yang perjalanan cuma 3 kilometer, tetapi terpaksa menghabiskan masa sehingga 2 jam dalam kesesakan.
“Kesian mereka yang ada anak kecil menunggu di rumah atau perlu mengambil anak di taska. Mohon isu ini diberi perhatian dan penyelesaian jangka panjang terima kasih,”rayunya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air sehingga parasa paha dan banyak laluan tersekat ekoran hujan lebat petang ini.
Antara kawasan yang terlibat ternasuklah Kampung Melayu Subang, TTDI Jaya, Seksyen 13,Bukit Jelutong serta laluan di Lebuh Raya Guthrie.-KOSMO! ONLINE
















