fbpx
Kompleks Mahkamah Seremban.

Mahkamah tolak permohonan Raja Norazli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin untuk mencelah dalam saman pemula 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan berhubung tafsiran peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Hakim Roz Mawar Rozain membenarkan DKU sebagai sebuah institusi untuk mencelah dan menetapkannya sebagai defendan ketiga dalam prosiding berkenaan.

Beliau berkata, Raja Norazli tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam kes tersebut kerana kepentingan yang dibangkitkan adalah milik DKU sebagai sebuah institusi dan bukannya Setiausaha DKU secara individu.

Menurut Roz Mawar, penglibatan DKU penting bagi memastikan keputusan mahkamah dapat dibuat secara berkesan dan menyeluruh, termasuk berkaitan isu ‘Raja Pemerintah’ yang dibangkitkan plaintif mengikut Perkara 28(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, penglibatan DKU dihadkan kepada isu-isu berkaitan yang akan ditentukan kemudian.

Dalam pada itu, mahkamah turut bersetuju dengan hujahan peguam plaintif, bahawa DKU tidak mempunyai sebarang fungsi berhubung pelantikan atau pembatalan pelantikan Exco.

Terdahulu, dalam prosiding tersebut mahkamah dimaklumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim telah menarik balik kelulusan pelantikan peguam luar untuk mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri dalam kes berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili 10 plaintif berdasarkan surat bertarikh 29 Oktober lalu daripada Ismail kepada Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal.

Mohd. Hafarizam berkata, keputusan itu dibuat atas alasan implikasi kewangan penggunaan khidmat peguam luar perlu diteliti semula selain komitmen kewangan besar kerajaan negeri perlu dibawa terlebih dahulu untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

“Setakat ini, MMK tidak bersidang dan perkara berhubung pelantikan peguam luar serta implikasi kewangannya tidak dapat dipertimbangkan dan diputuskan sewajarnya.

“Justeru, tidak wajar untuk Kerajaan Negeri terus menanggung komitmen perbelanjaan sedemikian,” katanya ketika membacakan inti pati surat tersebut dalam prosiding menerusi sidang video Zoom hari ini.

Sementara itu, Muzalmah berkata, surat berkenaan dihantar ke pejabatnya pada Jumaat lalu ketika beliau menghadiri mesyuarat di Langkawi.

Beliau berkata, peguam plaintif memfailkan afidavit tambahan pada petang Jumaat lalu, menyebabkan beliau hanya dapat mengemukakan maklum balas kepada mahkamah pada pagi ini.

Jelas Muzalmah, pengeluaran ‘fiat’ tersebut adalah di bawah bidang kuasa Penasihat Undang-Undang Negeri dan tidak dinyatakan memerlukan kebenaran Menteri Besar.

“Saya dah berjumpa dengan Menteri Besar (sebelum ini) dan menyatakan pelantikan peguam dan beliau tidak menyatakan bantaha. Isu fi (pembayaran) tidak timbul sekarang ini kerana ia isu berasingan daripada pelantikan,” katanya.

Dalam pada itu, Roz Mawar turut mempersoalkan sama ada surat penarikan balik kelulusan tersebut dikeluarkan Ismail atas kapasiti peribadi atau kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Selain itu, mahkamah merekodkan pengesahan pihak plaintif bahawa prosiding berkenaan akan diteruskan tanpa meminta mahkamah menentukan kesahan proklamasi bertarikh 19 April 2026 atau pihak yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Prosiding ditetapkan bersambung pada pukul 10 pagi, 16 November depan menerusi sidang video bagi mendengar bantahan awal pihak-pihak terlibat.

Pihak berkaitan perlu memfailkan hujahan pada 10 November ini, manakala afidavit balasan perlu dikemukakan pada 13 November depan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN