PUTRAJAYA – Rayuan akhir pendakwah selebriti Da’i Syed untuk mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan merogol tujuh tahun lalu akan diketahui pada Rabu ini.
Keputusan sama ada rayuan Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 31, dibenarkan atau ditolak akan ditentukan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Pada prosiding 3 Ogos lalu, peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Datuk M. Athimulan yang mewakili Da’i Syed berhujah, Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam mensabitkan perayu selain dapatan melabelkan mangsa sebagai wanita naif.
Pihak pembelaan berhujah, dapatan itu bercanggah dengan keterangan pengadu yang mengatakan dia seorang yang dewasa matang dan mampu menjaga keselamatannya sendiri.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim yang bertindak sebagai responden menafikan perbuatan (seks) itu dibuat dengan kerelaan, sebaliknya tanpa persetujuan mangsa.
Pada 14 Februari lalu, selepas 21 hari berada di dalam penjara, Da’i Syed yang sedang menjalani hukuman atas kesalahan merogol dibebaskan sementara oleh Mahkamah Rayuan di sini.
Sebelum itu, pada 23 Januari, Dae’i Syed diperintah ke Penjara Kajang serta-merta selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas meneliti hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan dalam permohonan rayuan sabitan dan hukuman terhadap Da’i Syed.
Dalam penghakiman, Mahkamah Tinggi berpendapat, Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam keputusan sebelum ini dengan pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah dalam kes tersebut.
Da’i Syed kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 26 Januari lalu bagi penangguhan pelaksanaan hukuman.
Pada 10 Disember 2020, lelaki itu didakwa atas pertuduhan merogol mangsa yang berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7, Shah Alam pada pukul 1.35 pagi, 11 September 2019. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
















