PETALING JAYA – Hukuman penjara minimum mandatori bagi kesalahan penipuan halal yang serius dan terancang perlu dipertimbangkan, manakala cadangan sebatan memerlukan penelitian lanjut.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, hukuman lebih berat wajar dikenakan terhadap pihak yang sengaja memalsukan logo atau sijil halal.
Katanya, ia termasuklah menggunakan bahan haram tanpa pendedahan, menyembunyikan fakta berkaitan sumber bahan mentah serta memperdaya pengguna demi keuntungan komersial.
“Isu penipuan dan penyalahgunaan pensijilan halal merupakan perkara serius kerana melibatkan integriti agama, hak pengguna Islam, keselamatan makanan serta kepercayaan masyarakat terhadap sistem pensijilan halal negara.
“Hukuman berat perlu mengambil kira tahap kesalahan, unsur niat, bukti penipuan, skala operasi dan kesan terhadap pengguna bagi membezakan perbuatan penipuan terancang dengan kesalahan teknikal atau kecuaian pentadbiran,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Beliau berkata, sebatan tidak wajar dijadikan hukuman automatik bagi setiap kesalahan halal, sebaliknya prinsip utama adalah memastikan penipuan yang disengajakan menerima hukuman setimpal dan berkesan.
Menurutnya, pengarah syarikat, pemilik perniagaan serta pihak pengurusan yang mengarahkan atau mengetahui kegiatan penipuan itu juga perlu dipertanggungjawabkan, selain syarikat yang memperoleh keuntungan melalui kegiatan berkenaan dikenakan penalti kewangan bersesuaian.
Mengulas kecukupan hukuman sedia ada, Mohd Azmi berkata, persoalan utama bukan semata-mata kadar hukuman yang diperuntukkan undang-undang, tetapi sama ada pelaksanaannya konsisten, tegas dan mampu memberikan kesan pencegahan.
Katanya, Malaysia sudah mempunyai beberapa peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).
Di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan RM10 juta bagi kesalahan berikutnya.
Individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh membawa denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, syarikat boleh didenda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.
Individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh membawa denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Mohd Azmi berkata, kerajaan perlu meneliti mengapa hukuman maksimum yang diperuntukkan tidak semestinya diterjemahkan kepada hukuman setimpal dalam kes tertentu, selain memastikan siasatan dan pendakwaan dilakukan secara segera dan menyeluruh.
Ujarnya, dalam aspek penguatkuasaan, penyelarasan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pihak berkuasa tempatan perlu diperkukuh. – KOSMO! ONLINE
















