SEPANG – Impian pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk menghadiahkan podium kepada peminat negara tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di kedudukan keempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi.
Memulakan perlumbaan dari petak ketiga, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mempamerkan aksi penuh bertenaga apabila memberikan saingan sengit di kelompok hadapan sebelum menamatkan perlumbaan dengan perbezaan 4.410 saat (s) di belakang juara dari Sepanyol, Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team).
Tempat kedua menjadi milik pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama (Honda Team Asia), manakala Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) melengkapkan podium di tempat ketiga dengan perbezaan 4.184s.
Pada perlumbaan tersebut, Hakim Danish memberi tentangan cukup sengit terutama dalam kelompok hadapan, khususnya dengan Veda yang beberapa kali bertukar posisi dalam usaha memburu kedudukan terbaik.
Memasuki empat pusingan terakhir, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya melonjak ke kedudukan kedua selepas memintas Veda, namun kedudukannya tidak bertahan lama apabila dipintas semula pelumba Indonesia itu dan David Almansa pada pusingan berikutnya.
Drama semakin memuncak pada pusingan terakhir apabila persaingan kelompok hadapan semakin sengit dan Hakim Danish yang sempat tergelincir ke kedudukan kelima bagaimanapun mempamerkan kebangkitan untuk kembali melonjak ke tempat ketiga.
Namun, impian untuk menaiki podium di laman sendiri akhirnya lebur pada selekoh terakhir apabila Carpe melakukan gerakan memintas dari bahagian dalam, sekali gus menafikan peluang pelumba negara itu dengan perbezaan hanya 0.226s.
Walaupun terlepas podium, keputusan di tempat keempat tetap menjadi pencapaian membanggakan buat Hakim Danish kerana sebelum ini bergelut memberi saingan kelompok hadapan dan juga sesi kelayakan.
Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish terlepas peluang mengulangi pencapaian mentornya yang juga pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang pernah menaiki podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada GP Malaysia 2012.
Dalam kedudukan kejuaraan dunia Moto3, Quiles terus mengukuhkan kedudukan teratas dengan 376 mata, jauh meninggalkan David Almansa di tempat kedua dengan 228 mata, manakala Brian Uriarte dan Carpe berkongsi 205 mata.
Pratama pula berada di tangga ketujuh dengan 131 mata, sementara Hakim Danish menghuni kedudukan kesembilan menerusi 116 mata selepas mengharungi perlumbaan di Sepang. -KOSMO! ONLINE
















