fbpx
Muhammad ketika melakukan lawatan ke pusat sembelihan dan kilang memproses ayam segar di Kampung Seri Aman, Puchong, hari ini. -Foto oleh ISKANDAR ISHAK.

[VIDEO] Pusat sembelih bekal 40,000 ekor ayam direnjat arus elektrik sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUCHONG – Busuk, jijik dan meloyakan.

Begitulah keadaan pusat sembelihan ayam di Kampung Seri Aman, Puchong yang sebelum ini telah diserbu pihak berkuasa.

Tinjauan Kosmo! di premis itu, hari ini mendapati keadaan lantai premis berkenaan masih lagi kotor dengan kesan darah, bulu ayam serta tong-tong bekas simpanan ayam dipenuhi ulat dan lalat.

Lebih menjijikkan, suasana persekitaran premis itu juga berbau busuk seperti berada di pusat pengumpulan sampah yang boleh dihidu dari jarak kira-kira 50 meter dari kawasan terbabit.

Keadan tong sampah yang dipenuhi bulu ayam dan ulat berhampiran kilang terbabit.

Menurut Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan / Operasi) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim, premis yang beroperasi lebih 10 tahun itu mampu membekalkan kira-kira 40,000 ekor ayam siap proses setiap hari.

Jelas beliau, kebanyakan ayam tersebut diedarkan ke pembekal dan kedai runcit di sekitar Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana dan Putrajaya selain beberapa lokasi lain di Lembah Klang.

“Kemampuan kilang ini mampu memproses lebih daripada 40,000 ekor ayam dalam sehari.

“Edaran kilang untuk kawasan Puchong dan sekitar Lembah Klang yang mana ia untuk kedai runcit, restoran dan juga lain-lain premis perniagaan,” katanya pada sidang akhbar di pusat sembelihan dan memproses ayam itu, hari ini.

Kosmo! difahamkan, ayam siap proses di pusat itu juga diedarkan ke pasar raya besar dan rangkaian restoran nasi kandar terkenal.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, walaupun beroperasi lebih 10, namun setakat ini pusat memproses ayam itu belum mendapat sijil halal daripada pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

Beliau berkata, walaupun pernah dilawati dan diberi teguran oleh pihak Jakim, namun pemilik kilang ini masih gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan agensi tersebut.

“Pihak Jakim telah beberapa kali membuat lawatan dan teguran kepada kilang ini, yang mana kilang ini masih lagi untuk mematuhi teguran yang telah dikeluarkan berkaitan prosedur yang sepatutnya dipatuhi oleh pihak kilang.

“Semakan pihak kita juga mendapati, buat masa ini premis ini didapati tiada pengesahan sijil dan status halal,” katanya.

Muhammad berkata, pemilik premis iaitu lelaki tempatan berusia 34 tahun telah dirakam keterangan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu siasatan, manakala 12 lelaki warga asing yang bekerja di kilang itu telah ditahan.

“Pekerja di premis berkenaan merupakan individu pendatang asing tanpa izin dipercayai tidak memiliki sebarang sijil perakuan bagi menyembelih haiwan,”katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan ditahan menerusi Op Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang pemprosesan dan penyembelihan ayam di Puchong pada pukul 12.40 tengah malam.

Operasi bersepadu itu turut membawa kepada rampasan 468 bungkusan plastik mengandungi 6,555 kilogram ayam mentah dianggarkan bernilai RM85,400.

Siasatan awal mendapati bekalan ayam diperoleh daripada beberapa ladang sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang sebelum diproses dan dipercayai diedarkan kepada pe­langgan termasuk kedai makan, kedai runcit serta pasar raya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ayam berkenaan diproses menggunakan kaedah ‘water bath stunning’ (kaedah renjatan air berarus elektrik) yang menyebabkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih.

Arus elektrik yang digunakan dalam proses (kaedah renjatan air berarus elektrik di sebuah premis penyembelihan dikesan mencecah sehingga 130 volt, jauh melebihi paras maksimum yang ditetapkan JAIS iaitu di bawah 10 volt. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN