SEBAIK sahaja kaki melangkah masuk ke dalam ruang pameran Muzium Etnografi Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, mata pengunjung disajikan dengan 50 mesin taip yang julung kali dipamerkan kepada khalayak.
Bagai kembali ke zaman dahulu sebelum kewujudan komputer yang beransur-ansur ‘melenyapkan’ penggunaannya, variasi mesin taip tersebut pernah menjadi nadi bidang media, penulisan dan komunikasi.
Mula dipamer sejak 1 September lalu, eksposisi yang diberi nama Pameran Mesin Taip itu sepatutnya berakhir pada 31 Oktober, namun dilanjutkan kepada 30 November bagi memberi lebih peluang kepada pengunjung melihat sendiri inovasi mesin tersebut daripada analog hingga digital.
Ia terbahagi enam segmen pameran iaitu Evolusi Reka Bentuk, Jenama dan Model Mesin Taip Moden, Koleksi Tokoh, Aksara Bahasa Dunia, Warisan Mesin Taip Jawi dan Segmen Interaktif.
Di Segmen Interaktif bahkan orang ramai berpeluang untuk menaip menggunakan mesin taip.
Pastinya ia satu momen yang tidak seharusnya dilepaskan terutama bagi anak-anak zaman moden yang tidak melalui era mesin taip sebelum ini.
Kurator Muzium Etnografi Melayu, Mohammad Anis Abdul Samad berkata, tarikan utama pameran ialah koleksi mesin taip awal abad ke-20 termasuk model yang dihasilkan sekitar 1900-an hingga 1930-an.

Walaupun pihak penganjur berpeluang menemukan mesin taip dari abad ke-19, koleksi berkenaan tidak dapat dibawa masuk ke pameran atas faktor privasi pemilik persendirian, namun digantikan dengan gambar sebagai ganti.
“Mesin taip dari era awal memperlihatkan reka bentuk dan mekanisme yang berbeza daripada model yang lebih lazim digunakan pada pertengahan abad ke-20.
“Jika mesin taip konvensional menggunakan palang huruf yang bergerak untuk menghentam reben dakwat sebelum meninggalkan kesan pada kertas, model terdahulu pula hadir dengan pelbagai mekanisme lain, termasuk sistem yang menggunakan komponen berbentuk rama-rama dan mekanisme bebola yang bergerak bagi menghasilkan aksara.
“Kepelbagaian tersebut memperlihatkan bagaimana penciptaan mesin taip berkembang melalui percubaan dan inovasi sebelum reka bentuknya menjadi lebih standard dan dinamik,” katanya ketika ditemui CitaRasa pada pameran itu.
Pameran tersebut antaranya mempamerkan mesin taip buatan Amerika Syarikat (seperti jenama Remington, Underwood, Smith Corona dan IBM), Itali (Olivetti), Jerman (Olympia, Adler) dan United Kingdom (Imperial, Royal).

Tambah Mohammad Anis, susunan koleksi membolehkan pengunjung melihat perubahan reka bentuk, saiz dan bahan yang digunakan seiring perkembangan teknologi. Ini sekali gus memberi peluang melihat mesin taip yang digunakan oleh birokrat kerajaan suatu masa dahulu yang kini hanya menjadi sebahagian lipatan sejarah.
“Mesin taip yang digunakan di pejabat pada sekitar 1950-an dan 1960-an misalnya, lazimnya lebih besar dan berat berbanding model mudah alih yang muncul pada dekad-dekad berikutnya.
“Memasuki era 1970-an hingga 1990-an, mesin taip semakin kompak, ringan dan praktikal untuk dibawa ke pelbagai tempat. Penggunaan bahan plastik turut menjadikan sesetengah model lebih mudah dikendalikan termasuk oleh pelajar dan pengguna di rumah.
“Kita turut pamerkan mesin taip elektrik yang masih boleh berfungsi (buatan sekitar 1990-an) dan model berkenaan menggunakan sistem kartrij dakwat, berbeza mesin taip manual yang lazimnya menggunakan reben dakwat,” ujarnya.
Lebih istimewa, mesin-mesin taip yang pernah mengetik jutaan aksara milik mantan Naib Canselor UM iaitu Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz, Sasterawan Negara (SN) pertama, Allahyarham Keris Mas dan SN ke-6, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Salleh turut dipamerkan.
Terdapat juga mesin taip khas untuk kerja melukis pelan termasuk pelan bersaiz besar yang lazim digunakan dalam bidang teknikal dan seni bina suatu ketika dahulu.
Pelbagai pihak menyumbang bahan pameran itu antaranya Jabatan Muzium Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan UM, Perpustakaan Peringatan Za’ba UM, Perpustakaan Sultanah Zanariah Universiti Teknologi Malaysia, Muzium Pendidikan Nasional Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Tunku Abdul Rahman, Galeri Al-Abrar, Yayasan Orang Buta Malaysia dan lain-lain.
Mesin taip tulisan jawi, bahasa Arab, Hebrew dan Tamil, selain mesin taip Braille turut dipertonton.

Antara individu yang menyumbang simpanan mesin taipnya untuk dipamerkan ialah Abdul Malik Ahmad, 43, yang turut digelar ‘sifu mesin taip’ kerana kemahirannya dalam membaiki atau memulihara mesin taip.
Berkongsi dengan khalayak tentang mesin taip Olivetti Valentine berwarna merah yang terpamer di rak, dia mengimbau nostalgia bapanya yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Kerani Mahkamah Tinggi di negeri Kedah.
Sejak usia kanak-kanak, Malik juga sering dibawa bapa menguruskan servis mesin taip sekali gus mendekatkannya dengan komponen mesin taip.
“Daripada pemerhatian terhadap kerja-kerja membaik pulih, saya mula faham bagaimana mesin taip berfungsi, selain tertarik aspek teknikal yang memerlukan ketelitian dan kesabaran.
“Mesin taip memang selalu ada di rumah. Sejak usia tujuh tahun lagi, kalau ada kelapangan saya akan mengambil keratan akhbar dan menaip berita itu semula.
“Kadangkala surat atau dokumen yang ayah tersilap taip biarpun sudah dibuang, saya akan kutip dan taip semula dokumen tersebut. Namun hal itu sering dilarang ibu kerana katanya walaupun dokumen berkenaan sudah ‘tak laku’, tetapi tetap tidak boleh dibuat main kerana terdapat maklumat-maklumat penting di dalamnya,” kongsi Malik tentang kenangan menariknya bersama mesin taip.
Bukan sahaja pencinta mesin taip, Malik yang turut terlibat dengan baik pulih termasuk memastikan setiap kekunci mesin taip berfungsi.
Antara cabaran utama yang dihadapinya ialah mendapatkan alat ganti, khususnya bagi model lama yang sudah tidak lagi dikeluarkan. Walaupun bekalan reben dakwat kini lebih mudah diperoleh dari pembekal luar negara seperti China, sesetengah komponen masih memerlukan pengubahsuaian.
“Dalam urusan jual beli pula, saya memastikan setiap mesin dipulihkan sebelum ditawarkan kepada pembeli. Saya pernah menjual sebuah mesin taip pada harga RM2,500,” katanya yang memberitahu masih ada segelintir pihak yang menggunakan atau suka-suka mengumpul mesin taip.
Selain usaha memulihara, Malik juga bimbang kemahiran membaiki mesin taip semakin terhakis akibat kekurangan individu yang berminat mempelajarinya.
“Sebelum ini saya pernah adakan kelas teknik memulihara mesin taip, namun sambutan kurang menggalakkan. Jadi, saya mengharapkan pameran ini dapat meningkatkan minat terutama golongan belia untuk menggunakannya dan belajar teknik membaikinya sekali gus dapat menjadi tatapan generasi seterusnya,” katanya.
Turut terlibat dalam pameran itu ialah Pembantu Pustakawan Kanan Perpustakaan UM, Mahadie Ab.Latif, apabila mesin taip milik arwah datuknya jenis Olympia Progress aksara jawi turut dipamerkan.
Mesin taip itu menjadi peneman setia datuknya yang suatu masa dahulu pernah bertugas sebagai wartawan bebas di Singapura sebelum berpindah ke Melaka.
Biarpun mesin taip itu sudah menjangkau usia lebih lima dasawarsa, namun Mahadie tetap memeliharanya dengan baik di samping sesekali menggunakan mesin taip tersebut untuk menaip semula puisi nukilannya.
“Mesin ini diperbuat di Jerman Barat dan dikeluarkan khas untuk keluaran pasaran Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang sahaja pada waktu itu.
“Mesin ini sendiri sudah ada dalam simpanan saya kira-kira 15 tahun dan menjadikan ia sebagai koleksi peribadi kerana mempunyai nilai sentimental dalam keluarga,” tuturnya.















