MASYARAKAT Malaysia sering dilabel malas membaca. Namun, amalan membaca dilihat begitu subur dalam kalangan sesetengah negara di dunia.
Gaya hidup membaca turut dipengaruhi oleh latar belakang budaya dan pendidikan serta faktor-faktor sosial. Budaya membaca juga melambangkan semangat mencintai ilmu kerana bahan bacaan sumber pengetahuan.
Minggu ini, CitaRasa kongsikan lima negara di dunia yang paling ‘kuat’ membaca berdasarkan purata jam yang dihabiskan dalam seminggu untuk membaca seperti yang dikongsikan WorldAtlas.
1. India – 10 jam 42 minit

India berada di kedudukan pertama dengan purata masyarakatnya menghabiskan 10 jam 42 minit seminggu untuk membaca. Jam yang banyak ini menggambarkan budaya membaca yang tinggi di negara itu yang amat menekankan pendidikan dan pengetahuan.
Membaca tanpa mengira usia merupakan suatu yang lazim dan popular sebagai aktiviti santai di India. Terdapat penekanan signifikan sama ada bagi bacaan akademik atau bukan akademik. Kemudahan akses buku dan bahan bacaan digital menyemarakkan lagi tabiat membaca dalam kalangan penduduk India.
2. Thailand – 9 jam 24 minit

Berada di kedudukan kedua, Thailand dengan purata individu di negara itu menghabiskan masa 9 jam 24 minit untuk membaca dalam seminggu. Bangsa Thai melihat membaca bermakna kemajuan dan hiburan. Perpustakaan-perpustakaan awam dan kempen-kempen membaca mempromosikan lebih banyak budaya membaca di negara itu.
Disebabkan oleh media digital juga, membaca kini menjadi lebih mudah diakses.
3. China – 8 jam

Pada masa ini, penduduk China menghabiskan masa 8 jam seminggu untuk membaca. Amalan membaca di China diberi penekanan oleh pemerintahnya menerusi pelbagai program membaca dengan banyak perpustakaan awam dan program membaca di seluruh negara.
Membaca hakikatnya salah satu daripada alat penting untuk tujuan pembangunan profesional dan individu, jadi buku menjadi perkara yang begitu diambil berat. Populariti e-buku, ditambah dengan stesen-stesen membaca menyumbang kepada peningkatan budaya membaca di China.
4. Filipina – 7 jam 36 minit

Individu di Filipina menghabiskan purata 7 jam 36 minit seminggu untuk membaca. Membaca telah menjadi sebahagian budaya besar bangsa Filipina. Kesusasteraan dan pendidikan ditekankan dalam kalangan masyarakat. Membaca dipromosikan di dalam sekolah-sekolah dan universiti-universiti dengan perpustakaan awam kerap dikunjungi.
Buku yang berharga murah dan peningkatan trend membaca bacaan digital menyuburkan lagi budaya ini di Filipina.
5. Mesir – 7 jam 30 minit

Di Mesir, purata individu habiskan masa 7 jam 30 minit seminggu untuk membaca. Budaya membaca tersimpan utuh dalam sejarah kebudayaan Mesir apabila banyak karya sastera dan ilmu terhasil. Kerajaan dan organisasi-organisasi berbeza sentiasa mempromosi membaca melalui kempen-kempen membaca. Cinta membaca terus mekar di sebalik cabaran ekonomi.
Mesir juga sinonim dengan gerbang imu, Universiti Al-Azhar. Kebanyakan pembaca atau qari terulung yang menjadi rujukan dunia dalam bacaan al-Quran juga dari Mesir seperti Sheikh Al-Husary, al-Minshawi, Abd al-Basit Abd al-Samad dan Sheikh Mustafa Ismail.








