fbpx
Pelbagai permainan ilusi menanti orang ramai yang berkunjung ke Muzium Ilusi Kuala Lumpur. – Foto SHIDDIEQIIN ZON

Muzium Ilusi KL bawa pengunjung terokai dunia ‘teka-teki’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUAH muzium lazimnya dibayangkan sebagai ruang yang menghimpunkan koleksi sejarah, artifak atau karya seni untuk tatapan pengunjung. Namun, pengalaman berbeza ditawarkan oleh Muzium Ilusi Kuala Lumpur yang menggabungkan elemen permainan, teka-teki dan ilusi visual bagi mencetuskan rasa ingin tahu pengunjung tanpa mengira usia.

Beroperasi sebagai sebuah francais swasta dari Croatia yang mempunyai lebih 30 muzium di seluruh dunia, Muzium Ilusi Kuala Lumpur yang terletak di aras satu Ansa Hotel, Jalan Bukit Bintang beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Menurut Pengurus Operasi, Rene Augustine, muzium berkenaan awalnya dibuka pada 2018 sebelum ditutup kira-kira dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19, sebelum kembali beroperasi di bawah pengurusan baharu bermula 2022.

“Pemilihan Malaysia sebagai salah satu lokasi muzium dikatakan berkait rapat dengan perkembangan sektor pelancongan negara pada ketika itu (2022), sekali gus menjadikan Malaysia sebagai lokasi untuk menguji pasaran di rantau Asia Tenggara.

“Berbeza dengan muzium konvensional, tarikan utama kami bukan sekadar untuk melihat atau bergambar, sebaliknya memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi secara langsung dengan pelbagai permainan dan ilusi yang disediakan khususnya buat keluarga,” katanya ketika ditemui CitaRasa baru-baru ini.

Muzium ilusi berkenaan sebenarnya merupakan francais dari Croatia yang mempunyai lebih 30 muzium seluruh dunia.

Kata salah seorang kakitangan, Linodthen, kebanyakan permainan dan teka-teki tidak bergantung kepada teknologi digital. Sebaliknya menggunakan objek fizikal yang memerlukan pengunjung menggunakan daya pemikiran untuk menyelesaikannya.

Aktiviti tersebut secara tidak langsung memberi ruang kepada pengunjung untuk saling berinteraksi antara satu sama lain dalam usaha menyelesaikan aktiviti fizikal yang disediakan.

“Tarikan yang paling mendapat perhatian di sini ialah sebuah terowong ilusi sepanjang kira-kira 20 hingga 30 meter yang memberi sensasi seolah-oleh sedang berpusing atau kehilangan keseimbangan ketika melaluinya.

“Pengunjung akan melalui jambatan yang ada di dalam terowong ini dan mereka akan berasa seperti sedang berpusing walaupun jaraknya agak dekat, sensasinya sudah boleh dirasai sebaik sahaja memasuki terowong,” katanya.

Sambil bermain permainan ilusi orang ramai juga boleh merakam foto.

Tarikan yang terletak di tingkat dua itu menjadi kegemaran golongan belia ketika berkunjung ke muzium turutama pada setiap hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Di tingkat dua itu, pengunjung berpeluang merasai pengalaman ilusi tiga dimensi (3D) yang bukan sahaja mengujakan tetapi memberi peluang untuk merakam gambar menarik sepanjang berkunjung ke muzium.

Sementara itu, kata kakitangan muzium, Padman, pengunjung digalakkan mencuba permainan yang disediakan kerana pengalaman berkunjung bukan sekadar untuk mendapatkan gambar menarik tetapi turut memberi peluang menguji minda.

“Setiap pengunjung akan menikmati pelbagai pengalaman berbeza sekali gus membuktikan muzium ilusi merupakan destinasi sesuai untuk keluarga menguji minda dengan melakukan aktiviti hiburan yang menggabungkan elemen pembelajaran, interaksi dan rangsangan minda.

“Saya juga teruja apabila melihat pengunjung berusaha untuk menyelesaikan setiap permainan tidak kira sama ada kanak-kanak, remaja atau dewasa,” katanya.

Secara ringkas, Muzium Ilusi Kuala Lumpur lebih daripada sekadar tempat bergambar kerana setiap ilusi dan teka-teki yang disediakan mengajak pengunjung melihat sesuatu daripada perspektif berbeza sambil mencabar minda untuk mencari jawapan.

Bagi harga tiket, warganegara Malaysia dikenakan bayaran RM45 untuk dewasa berusia 15 tahun ke atas, RM35 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun, manakala pelajar dan warga emas masing-masing dikenakan RM40.

Bagi bukan warganegara harga tiket dewasa ialah RM55, kanak-kanak RM45, manakala pelajar dan warga emas masing-masing RM50.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN