fbpx
Fadil menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI/KOSMO!

Tumpas tiga sindiket dadah, rampasan RM2.15 juta dalam empat hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dalam sembilan serbuan di sekitar Lembah Klang membabitkan rampasan bernilai RM2.15 juta dalam operasi dari 19 hingga 22 Oktober lalu.

Operasi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Cheras itu dlakukan di beberapa lokasi sekitar ibu negara dan Ampang, Selangor.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seramai 16 lelaki dan seorang wanita tempatan serta tiga lelaki dan tiga wanita asing berusia 21 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

“Kesemua tangkapan dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket pengedaran dadah tempatan yang aktif di sekitar Lembah Klang.

“Tangkapan turut membabitkan dalang dan pengedar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Jelasnya, dalam operasi pertama, polis menyerbu tiga buah kondominium di Sungai Besi, Cheras dan Bandar Baru Seri Petaling.

Fadil berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan lapan lelaki tempatan dan dua lelaki asing dengan rampasan pelbagai jenis dadah disyaki MDMA dan ketamin bernilai RM250,300.

“Seramai 11 lagi suspek ditahan dalam operasi kedua menerusi empat serbuan di Sungai Besi, Taman Sri Endah, Ampang Mewah dan Bukit Bintang.

“Dalam operasi ketiga, polis menyerbu sebuah kondominium di Pudu dan menahan seorang lelaki tempatan serta seorang lelaki asing,” ujarnya.

Pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, ekstasi, eramin 5 dan methamphetamine dianggarkan bernilai RM312,765 dan RM1.59 juta dirampas dalam operasi berkenaan.

Fadil berkata, siasatan awal mendapati satu botol mengandungi bahan disyaki MDMA dijual pada harga RM200 hingga RM300.

Polis turut menyita enam buah kenderaan terdiri daripada Toyota Vellfire, Honda City, Proton Inspira, Perodua Axia dan dua buah Honda Civic serta wang tunai RM5,066.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Semakan mendapati enam suspek tempatan mempunyai rekod jenayah dan dadah.

“Lima warga asing pula dipercayai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, manakala seorang lagi tidak mempunyai dokumen pas lawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN