fbpx
Daniella gemar mengenakan solekan nipis (kiri). antara koleksi rantai yang dihiasi batu baiduri bulan kesayangan Daniella Sya (kanan).

Daniella Sya obses batu baiduri bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

STATUS sebagai selebriti membuatkan pelakon jelita Daniella Sya memberi tumpuan kepada penampilan termasuk memastikan busana yang tersarung pada badan sentiasa kemas dan rapi.

Jika sebelum ini dia tidak terlalu mengambil berat tentang pakaian yang perlu digosok, perkara itu berbeza setelah semakin dikenali terutama tatkala peminat meminta untuk bergambar bersama.

“Dahulu saya tidak terlalu kisah sangat, tetapi sekarang ini saya perlu berpenampilan kemas dan pakaian yang dipakai juga akan digosok dahulu sebelum keluar rumah.

“Secara purata saya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk bersiap sebelum keluar sekiranya tidak melibatkan hal kerja. Kalau perlu ke acara rasmi mungkin ambil masa sedikit untuk berdandan,” kata pelakon filem Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku itu kepada CitaRasa baru-baru ini.

Pelakon dari Malaysia itu berlakon dalam filem religi Indonesia tersebut.

Daniella bagaimanapun selesa tampil dengan solekan nipis dan tidak mengambil masa lama untuk bersiap apabila keluar bersantai tanpa menghadiri sebarang acara rasmi.

Santai berbicara soal gaya, Daniella mengakui dia mempunyai dua sisi berbeza dalam berfesyen iaitu feminin dan edgy (berani) yang silih berganti mengikut keadaan dan tuntutan acara.

Salah satu penampilan edgy aktres ini yang menyerlahkan jiwa beraninya.

Katanya, gaya yang dipilih juga bergantung kepada perasaan pada hari tersebut dalam menentukan penampilan sama ada inginkan pesona menonjol atau tampil ringkas.

“Kalau soal gaya, saya sebenarnya ada dua personaliti iaitu feminin dan edgy. Jadi, selalunya penampilan saya bergantung mood sama ingin lebih santai atau berani.

“Tidak mengira sama ada acara rasmi atau keluar berjalan, perkara itu bergantung kepada apa yang saya rasa dan sekiranya saya rasa ‘bertenang’ atau tidak mahu terlalu menonjol, cukup sekadar memakai jean dan top biasa sahaja,” ujarnya.

Di rumah pula, pelakon berusia 38 tahun itu gemar menggayakan busana berinspirasikan gaya cottagecore yang sinonim dengan elemen feminin, romantik dan lembut.

Dia sangat menyukai pakaian yang mempunyai banyak renda dan motif bunga yang menjadi penampilan kelihatan lebih manis dan santai.

Selain edgy, wanita ini juga menyukai gaya feminin bergantung emosi.

Ditebak tentang ikon fesyen, dengan penuh yakin Daniella ‘memetik’ nama pereka fesyen tersohor British, Alexander McQueen. Mengakui pesona yang ditampil McQueen antara yang paling dekat dengan seleranya.

“Saya suka Alexander McQueen kerana hasil karyanya sangat asli. Walaupun beliau seorang pereka lelaki, tetapi beliau memahami bentuk tubuh wanita dan cara menghasilkan rekaan yang sesuai.

“Rekaannya juga selalu out of the box dan itu antara perkara yang saya suka, selain saya turut tertarik dengan penampilan Zendaya. Bagi saya, pelakon The Odyssey itu contoh yang baik untuk fesyen.

“Penampilannya sentiasa kelihatan bersih, feminin dan ethereal (indah) tidak mengira sama ada hadir ke acara tayangan perdana, anugerah atau apa saja program,” katanya.

Tidak hanya bercerita soal pakaian, Daniella turut berkongsi tentang obsesinya dengan aksesori terutama perhiasan yang mempunyai unsur batu permata terutama batu baiduri bulan (moonstone).

Selain mempunyai nilai dan makna peribadi, Daniella gemar menjadikan batu pertama seperti batu baiduri bulan, batu kecubung (amethyst), turmalin hitam (black tourmaline) sebagai loket yang dihasilkannya sendiri.

“Sejak usia 20-an lagi saya memang suka dengan koleksi perhiasan batu permata terutama moonstone, amethyst dan black tourmaline yang mempunyai makna tersendiri untuk saya.

“Paling saya suka ialah moonstone dan boleh dikatakan banyak koleksi perhiasan memiliki moonstone.

“Bergantung kepada keadaan, tidak mengira sama ada diletakkan pada gelang, cincin atau rantai. Selalunya saya suka perhiasan yang minimal, manakala aksesori yang lebih besar biasanya untuk acara tertentu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN