SUASANA sederhana tetapi mewah menjadi antara punca dekorasi gaya Bali semakin mendapat perhatian dalam kalangan golongan muda masa kini.
Suntikan unsur kontemporari dan vila percutian membuktikan gaya Bali bukan sekadar menitikberatkan aspek estetika, malah sentiasa mengutamakan keselesaan serta keseimbangan ruang.
Dengan pemilihan material, warna serta susun atur yang tepat, setiap ruang kediaman akan menjadi lokasi nyaman untuk beristirehat.
Menurut pereka hiasan dalaman, Soraya Ali, sumber pencahayaan semula jadi penting untuk mewujudkan pesona Bali, di samping kehadiran tumbuhan hijau di dalam rumah.
Ujarnya, rona hijau daripada pokok mampu menyuntik kesegaran dan membuatkan ruang lebih hidup, tenang dan damai, sekali gus menyerlahkan mood santai di rumah.
“Gunakan rona semula jadi seperti putih krim, kuning air, kelabu lembut atau coklat muda untuk dinding bagi memberikan suasana damai, selain mudah dipadankan dengan pelbagai jenis perabot.
“Asimilasi elemen semula jadi dengan warna seperti hijau tropika, biru laut, jingga tanah liat atau kuning terang pada kusyen, permaidani, pasu hiasan atau lukisan akan menghasilkan keseimbangan.
“Semua ini menghasilkan keseimbangan antara ketenangan dan keceriaan tanpa membuatkan ruang kelihatan terlalu sarat,” katanya kepada CitaRasa.
Material kayu sebagai pelengkap perabot bukan sahaja bersifat tahan lasak, malah menjadi identiti utama dekorasi Bali.

Selain kayu, batu semula jadi seperti batu sungai, batu kapur atau batu gunung berapi yang popular di Indonesia boleh digunakan pada lantai dan dinding sebagai perhiasan.
“Bahan organik amat penting untuk menjadikan dekorasi lebih menyerlah, sementara rotan dan buluh pula sesuai dijadikan sebagai lampu gantung, pembahagi ruang, kerusi atau aksesori kerana teksturnya yang ringan.
“Sebaiknya, pilih rekaan perabot yang ringkas, tidak terlalu bercorak dan rendah supaya ruang kelihatan lebih terbuka.
“Ia boleh digabungkan dengan kerusi solo rotan, meja kopi kayu jati dan perhiasan batu sungai atau ukiran kayu pada dinding bagi menyerlahkan lagi identiti Bali.
“Kita boleh guna bakul anyaman rotan sebagai perhiasan lantai atau lampu gantung,” katanya.
Tambahnya, susun atur perabot turut memainkan peranan penting agar tidak menghalang laluan dan membuatkan ruang kediaman padat.

“Pastikan ruang tidak dipenuhi terlalu banyak perabot sehingga susah untuk bergerak. Pastikan susunan saling interaksi antara satu sama lain agar ruang kelihatan lebih luas dan bersatu.
“Meja kopi boleh dijadikan sebagai titik fokus, sementara kerusi tambahan boleh diletakkan pada sudut agar lebih kemas,” ujarnya.
Selain itu, setiap ruang bukan sahaja perlu dititikberatkan pemilihan perabot, warna dan perhiasan, malah material lantai serta jubin juga perlu diberi perhatian.
“Kemasan kayu pada lantai dan jubin bercorak batu semula jadi menjadi pilihan terbaik untuk pelengkap suasana.
“Nilai seni dan budaya pada ukiran kayu, batik atau lukisan mampu menjadikan setiap ruang terasa seperti dalam vila percutian di Bali,” katanya.














