PETALING JAYA – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diperkasakan sebagai laluan utama melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pembangunan pesat negeri Johor.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, Johor kini muncul sebagai antara pemacu utama ekonomi negara dan anak tempatan perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran bagi merebut pelbagai peluang pekerjaan yang diwujudkan.
Menurut beliau, kemajuan sesebuah negeri bukan sekadar diukur melalui jumlah pelaburan atau pertumbuhan ekonomi, sebaliknya sejauh mana rakyat tempatan bersedia mengisi peluang yang tersedia.
“Sebab itulah TVET menjadi antara laluan terbaik untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu memacu pembangunan Johor,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, beliau berasa gembira, terharu dan teruja melihat ribuan anak muda Bangsa Johor dalam ekosistem TVET termasuk TVET Mara berhimpun bagi menjayakan program berkenaan.
Katanya, perkembangan pesat Johor ketika ini membuka ruang kepada lebih banyak peluang pekerjaan yang seharusnya dimanfaatkan oleh anak-anak negeri itu sendiri.
“Saya mahu peluang-peluang yang sedang diwujudkan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh anak-anak Bangsa Johor sendiri,” katanya.
Beliau turut berharap lebih ramai belia memilih laluan TVET bagi membina kerjaya di Johor sekali gus menjadi generasi yang menggerakkan kemajuan negeri itu pada masa depan.
Dalam pada itu, beliau yakin segala usaha yang sedang dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif TVET mampu memperkukuh pembangunan modal insan serta menyokong pertumbuhan ekonomi Johor secara berterusan.-KOSMO! ONLINE














