PETALING JAYA – Ali XPDC yang dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur selepas dipercayai mengalami sesak nafas, kelmarin dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Menurut anak Ali XPDC, Wan Aliuddin Aqiel atau Aqiel, dia bersyukur apabila keadaan kesihatan bapanya bertambah baik, hari ini termasuk air dalam paru-paru pun mula keluar secara normal.
“Alhamdulillah… keadaan baba sekarang dah stabil. Malam tadi baru dapat call dari doktor maklum oksigen baba sudah stabil.”
“Berkat doa semua keadaan baba semakin stabil, dan mungkin baba akan dipindahkan ke wad biasa petang ini. Terima kasih semua,” katanya.
Terdahulu, rakan Ali yang juga usahawan iaitu Ejay Da’ie memuat naik hantaran mengenai keadaan kesihatan penyanyi terbabit yang merosot sejak tiga hingga empat hari lalu serta mengalami sesak nafas.
Sementara itu, Ejay yang dihubungi berkata, dia nekad membawa Ali ke hospital selepas melihat keadaan rakannya agak kritikal, semalam.
Menurutnya, Ali perlu melakukan pembedahan jantung segera, tetapi kos agak tinggi dan pihaknya memohon sumbangan orang ramai untuk menampung perbelanjaan rawatan itu.
“Kos rawatan itu memang banyak, tinggilah, tapi Alhamdulillah ada ramai tampil membantu selepas saya buat ‘posting’ (hantaran) semalam. Jumlah kutipan sekarang dekat RM50,000, tapi kami perlukan lagi.
“Sebab rawatan di IJN kosnya agak tinggi. Kemungkinan dia akan buat stent dan juga belon, jadi kos naik lagi,” katanya.
Ejay berkata, pendapatan Ali hanya bergantung pada tawaran persembahan, tetapi agak sukar berikutan keadaan kesihatan kurang baik.
“Saya cuba carikan show dan sekarang saya ambil dia untuk Havoc Food Festival. Untuk program ini, saya sudah atur untuk beberapa siri dalam setiap minggu.
“Tapi bila sakit, dia tak boleh nyanyi, jadi income dia pun ‘sangkut’. Untuk seterusnya insya-Allah kita cuba bantu lagi,” katanya memaklumkan masih memerlukan bantuan orang ramai.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun RHB 16228700028560 atas nama Mohd Ali Ismail.














