Azizulhasni, Ee Wei titip kata-kata semangat buat Hafizuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menitipkan kata-kata pembakar semangat buat atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin yang sedang berdepan ujian berat selepas kehilangan tangan kanan akibat kemalangan.

Menurut Azizulhasni menerusi perkongsian di Instagram, beliau mengakui sedih dengan nasib menimpa atlet berusia 22 tahun itu yang ditemuinya ketika Majlis Anugerah Insentif, baru-baru ini.

“Ini bukan pengakhiran perjalanan hidupmu. Jangan putus asa dan semoga terus kuat Udin. Ini bukan pengakhiran perjalanan hidupmu. Semoga Allah SWT beri kekuatan, ketabahan dan permudahkan segala urusanmu.

“Kami seluruh warga sukan dan rakyat Malaysia sentiasa mendoakanmu,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh warga sukan dan rakyat Malaysia mendoakan kekuatan Hafizuddin, selain berharap badan sukan serta pihak berkaitan tampil memastikan kebajikan dan keperluan atlet itu terus terbela.

Tegas Azizulhasni, sokongan terhadap Hafizuddin perlu berterusan, bukan hanya ketika ini, malah bagi memastikan keperluan rawatan dan kebajikannya pada masa hadapan turut terjamin.

“Saya berharap pihak berwajib, badan sukan dan mana-mana organisasi yang berkaitan dapat tampil membantu, memastikan kebajikan, rawatan dan keperluannya terus terbela, bukan hanya untuk sekarang tetapi juga untuk masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, pemain badminton, Toh Ee Wei turut menzahirkan rasa sedih selepas mendapat berita mengenai insiden yang menimpa Hafizuddin.

“Sedih mendengar berita seperti ini. Lebih lagi seorang atlet yang sedang berjuang untuk negara. Sama-sama seluruh negara mendoakan kamu. Semoga terus kuat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN