DHAKA – Seorang lelaki Bangladesh yang bekerja di Singapura membelanjakan kira-kira 25 juta taka (RM825,000) untuk membina kediaman mewah di kampung halamannya dan mengundang majikannya melawat rumah tersebut, lapor laman berita Stomp.
Pengguna Facebook, Al Amin Rural Blog yang berpangkalan di Bangladesh, telah berkongsi satu klip video baru-baru ini, memaparkan seorang lelaki yang juga pencipta kandungan, meninjau rumah tersebut serta berbual dengan pemilik rumah dan majikannya dari Singapura.
Menurut lelaki terbabit, sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk dari bandar Cumilla untuk membawa majikan masing-masing pulang melawat kampung halaman mereka.
Mengulas mengenai konsep rumahnya, pemilik kediaman itu berkata, reka bentuk serta penggunaan panel kaca secara meluas banyak diinspirasikan daripada seni bina rumah di Singapura.
Apabila ditanya mengapa dia tidak melaburkan wang itu untuk membeli hartanah di kawasan bandar, lelaki tersebut memberitahu, memiliki kediaman impian di kampung sendiri menjadi cita-citanya sejak sekian lama.
Video berkenaan tular di media sosial dan merekodkan lebih 4.7 juta tontonan serta 168,000 tanda suka di Facebook, dengan rata-rata, pengguna internet memuji kegigihan lelaki tersebut serta menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil titik peluhnya merantau mencari rezeki. – AGENSI














