KULIM – Sekumpulan along disyaki telah tersalah sasaran ketika menyimbah cat merah pada pagar dan sebuah kereta milik seorang operator kilang di Taman Sepilai di sini semalam.
Along berkenaan turut meninggalkan sekeping nota ugutan memberi amaran untuk membakar rumah mangsa sekiranya gagal menghubungi lelaki dikenali sebagai Ken bagi menyelesaikan urusan yang tidak dinyatakan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, laporan itu diterima pada pukul 2.19 petang dan kejadian itu berlaku antara pukul 7 malam Ahad lalu hingga 7.30 pagi keesokan harinya ketika pengadu tidak di rumah.
“Lelaki berusia 41 tahun itu menafikan mempunyai sebarang hutang dengan pemberi pinjaman wang tidak berlesen selain tidak pernah menerima ugutan atau berselisih faham dengan mana-mana pihak,” katanya.
Menurut Syamsul, pengadu mengesyaki along itu tersalah sasaran kerana individu yang dinamakan dalam nota ugutan itu merupakan jirannya.
Tambahnya, suspek belum dikenal pasti dan motif dipercayai mempunyai kaitan dengan ugutan berkaitan hutang along, namun kemungkinan berlaku kesilapan sasaran masih dalam siasatan.-KOSMO! ONLINE














