PETALING JAYA – Teka-teki mengenai siapa yang bakal menyarung sut ejen perisik ikonik British akhirnya terjawab apabila bintang Hollywood, Robert Pattinson sah diumumkan sebagai James Bond yang baharu.
Pengumuman rasmi dibuat Amazon MGM Studios, sekali gus menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai pengganti Daniel Craig bagi menerajui watak ejen perisikan MI6 yang penuh karisma itu.
Pattinson, 40, yang sebelum ini mencuri tumpuan menerusi watak adiwira dalam filem The Batman, menyifatkan peluang tersebut sebagai detik paling bermakna dalam kerjaya seninya.
“Diberikan kepercayaan untuk membawakan watak 007 merupakan penghormatan terbesar sepanjang hidup saya dan ia bagaikan satu impian yang menjadi kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Pemilihan aktor kelahiran Britain itu turut mendapat reaksi segera daripada keluarga diraja Britain yang memuat naik ucapan tahniah di laman media sosial rasmi mereka berbunyi:
“Selamat datang ke Perkhidmatan Rahsia Baginda, Mr Bond.”
Menerusi pelantikan tersebut, Pattinson berjaya mengetepikan beberapa calon hangat lain termasuk Callum Turner, Josh O’Connor dan Jack Lowden, selain menepis desas-desus sebelum ini kononnya Amazon bakal memilih pelakon kulit hitam atau wanita untuk watak ciptaan Ian Fleming itu.
Filem terbaharu 007 ini juga mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi naskhah pertama di bawah kawalan kreatif penuh Amazon selepas penerbit lama, Barbara Broccoli dan Michael Wilson berundur daripada francais tersebut awal tahun lalu.
Kerusi pengarah filem berkenaan bakal digalas oleh pengarah tersohor Kanada, Denis Villeneuve yang terkenal menerusi naskhah Dune, manakala skrip pula ditulis oleh pencipta siri popular Peaky Blinders, Steven Knight.
Pemerhati industri perfileman menyifatkan pemilihan Pattinson sebagai langkah paling selamat dan bijak oleh pihak studio memandangkan statusnya selaku antara bintang paling laris tahun ini menerusi kejayaan filem epik The Odyssey dan thriller psikologi Primetime.
Pengasas laman data perfileman The Numbers, Bruce Nash berkata, pelakon yang mula dikenali menerusi watak pontianak Edward Cullen dalam francais Twilight itu memiliki pakej lengkap dari segi lakonan dan aksi.
“Pattinson memenuhi semua kriteria diperlukan sebuah studio yang mahu memulakan semula francais Bond dengan lancar,” katanya.
Di sebalik keterujaan peminat yang menyambut baik pengumuman itu, ada juga segelintir pihak yang kurang mengenali bintang berkenaan.
Seorang pemandu teksi di London yang hanya dikenali sebagai Jimmy, 59, mengakui terpaksa membuat carian di internet untuk mengetahui latar belakang Pattinson selepas berita itu tular.
“Saya sudah menonton filem Bond sejak 50 tahun lalu, namun semakin kurang berminat kebelakangan ini kerana babak aksi lagak ngerinya dilihat semakin tidak masuk akal,” ujarnya.
Sejak filem Dr. No ditayangkan pada tahun 1962, hanya enam pelakon pernah memegang watak ejen 007 di layar perak termasuk Sean Connery, Roger Moore dan Pierce Brosnan. – AGENSI














