SIAPA yang tidak kenal dengan pelakon Arash Mohamad. Namanya begitu sinonim dengan naskhah-naskhah yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu seperti Seputeh Qaseh Ramadan dan Mr. Mama.
Meniti usia matang dengan portfolio seni yang kukuh, Arash kini terus relevan dan sering menghiasi skrin televisyen tempatan menerusi watak bapa.
Sepanjang lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, pemilik nama sebenar Azman Shah Ramlee itu melalui pelbagai fasa perubahan industri dan bekerjasama dengan generasi baharu.
Berbekalkan pengalaman 35 tahun, Arash mengakui sudah lali dengan pelbagai ragam manusia.
Namun, dia menegaskan bahawa masalah sikap boleh menjejaskan kelancaran kerja seluruh pasukan.
“Saya sudah hampir 35 tahun berada dalam industri, jadi macam-macam perangai manusia saya sudah jumpa. Kalau ada masalah, saya lebih suka bercakap dengan sumber yang tepat seperti pengarah produksi.
“Saya tidak suka melibatkan pengarah kalau perkara itu boleh diselesaikan secara baik.
“Sama ada pelakon baharu atau lama, kalau ada masalah sikap memang akan mengganggu perjalanan penggambaran. Bukan apa, kadang-kadang ada saja pelakon baharu yang ‘culture shock’ atau kejutan budaya,” katanya kepada HibGlam.
Jaga adab
Meskipun berstatus senior dan jauh lebih berpengalaman, pelakon berusia 56 tahun itu tidak pernah meletakkan jurang antara dirinya dengan bakat-bakat baharu.
“Saya boleh bekerja dengan sesiapa sahaja. Kadang-kadang pengalaman saya lebih lama daripada mereka, tetapi idea-idea daripada orang muda juga banyak membantu.
“Kami saling berkongsi idea dan saling menyokong.
“Tak kira sama ada awak pelakon baharu atau lama, asalkan awak faham watak dan buat persediaan, itu sudah memadai. Kita boleh jadi rakan kerja yang baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon asal Rompin, Pahang itu turut menitikberatkan soal mengutamakan adab apabila melangkah masuk ke set penggambaran.
“Saya suka melihat pelakon muda yang datang ke set bawa adab, bersalaman dan beramah mesra sebelum mula penggambaran. Pada saya, itu perkara yang sangat penting.
“Ada juga yang datang ke set, buat ‘live’ (siaran langsung) tanpa menghiraukan orang lain sedangkan semua sedang menunggu mereka.
“Prinsip saya mudah, saya lebih rela menunggu 10 orang daripada 10 orang menunggu saya seorang sebab itu saya sentiasa cuba datang awal.
“Saya bukan kata saya paling baik, tetapi itulah prinsip yang dipegang,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman berlakon dalam drama Ikatan Terlarang, Arash gembira digandingkan dengan pelakon yang komited terhadap kerja masing-masing.
“Saya sangat bersyukur dan gembira dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Saya dikelilingi pelakon yang sangat berdisiplin dan komited terhadap tugas masing-masing.
“Bila masuk ke set, kami sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Pengarah pula banyak memberi ruang untuk kami perbaiki gaya lakonan, sama ada mahu tonjolkan emosi lebih atau kurang sedikit.
“Bila hubungan sesama pelakon baik seperti sebuah keluarga, kerja jadi lebih menyeronokkan. Selama tiga bulan kita berjumpa orang yang sama setiap hari, jadi hubungan yang baik itu sangat penting,” tutupnya.
Selain Arash, Ikatan Terlarang turut dibintangi barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Erysha Emyra, Alif Hadi, Raja Azura dan Mawar Rashid.
Dalam naskhah arahan Riza Baharudin itu, Arash memegang watak sebagai Harun iaitu bapa kepada Azura (Erysha) dan Alif (Rasyid).














