PETALING JAYA – Empat stesen pemantauan aras air sungai di Selangor merekodkan bacaan melebihi paras bahaya setakat pukul 7.45 pagi ini, dengan tiga daripadanya menunjukkan trend menaik.
Berdasarkan maklumat di laman web Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), empat stesen tersebut melibatkan kawasan di Klang, Sabak Bernam, Sepang dan Kuala Langat.
Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat mencatatkan bacaan 4.79 meter (m), iaitu melebihi paras bahaya 4.2m sebanyak 0.59m dengan trend menaik.
Sementara itu, Sungai Langat di Dengkil, Sepang merekodkan bacaan 7.91m, melebihi paras bahaya 7.5m sebanyak 0.41m, namun menunjukkan trend menurun.
Dua lagi stesen yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam dengan bacaan 2.51m dan Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang (3.13m), masing-masing menunjukkan trend menaik.
Dalam pada itu, empat lagi stesen pemantauan merekodkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang (4.05m), Sungai Selangor di Kampung Lubuk Jaya, Kuala Selangor (2.22m), Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang (10.76m) dan Sungai Klang di Bandar Klang (2.78m).
Selain itu, lima stesen turut merekodkan bacaan melebihi paras waspada melibatkan kawasan di Kuala Langat, Hulu Langat, Klang dan Sepang.
Sementara itu, hujan lebat dengan bacaan 33 milimeter (mm) direkodkan di stesen Kampung Kelanang, Jeti LKIM (F2), Kuala Langat setakat pukul 8 pagi tadi.– KOSMO! ONLINE














