Program ‘Pleco Fish Hunter’ bagi menangkap ikan bandaraya telah berlangsung dengan jayanya di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat, Selangor baru-baru ini. Lokasi itu dipilih kerana sungai berkenaan dikenal pasti sebagai salah satu zon tumpuan bagi pengawalan spesies invasif di Selangor.
Kepelbagaian habitat air tawar di sungai itu menjadikannya lokasi pembiakan aktif ikan bandaraya serta tapak yang strategik untuk pelaksanaan program lapangan.
Salah satu fokus utama program itu adalah penglibatan aktif mahasiswa daripada persatuan Rakan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara Student Chapter (RAS UiTM SC) yang bukan sekadar hadir sebagai peserta, malah terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti lapangan.
Menurut pengarah program ‘Pleco Fish Hunter’, Muhammad Firdaus Sahar, aktiviti bermula seawal pukul 8 pagi dan berakhir menjelang pukul 1 tengah hari.
Katanya, program tersebut dimulai dengan sesi taklimat peserta bersama Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) yang memberi penerangan mengenai teknik penangkapan ikan bandaraya, kepentingan program itu serta kesan negatif spesies invasif terhadap ekosistem sungai.
“Peserta didedahkan dengan latihan praktikal penggunaan jala daripada pihak SPIA. Melalui sesi ini, mahasiswa berpeluang mempelajari teknik menjala yang tepat, sebelum turun ke sungai.
“Dengan pemantauan dan bimbingan berterusan daripada pihak SPIA, aktiviti penangkapan ikan bandaraya dapat dijalankan,” katanya.
Muhammad Firdaus berkata, dalam program hampir lima jam itu, peserta berjaya menangkap kira-kira satu tan ikan bandaraya.

Katanya, hasil tangkapan tersebut kemudiannya disiang bagi memastikan ia benar-benar mati.
“Peserta juga diajar cara menyiang ikan bandaraya dengan betul, termasuk teknik pengasingan telur ikan bagi mengelakkan pembiakan berterusan.
“Para peserta turut berpeluang melakukan sendiri proses pengasingan telur, sekali gus memberikan pengalaman praktikal yang sangat bernilai.
“Penglibatan secara hands-on dalam aktiviti seperti ini membantu meningkatkan kesedaran serta membentuk rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda terhadap pemeliharaan ekosistem sungai,” ujarnya.
Sementara itu, Penasihat RAS UiTM SC, Ts. Nur Ain Mohd. Zainuddin menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh para mahasiswa sepanjang program berlangsung.
Menurutnya, penyertaan aktif mahasiswa dalam program berasaskan komuniti dan alam sekitar itu mampu membentuk nilai kepimpinan, disiplin serta kerjasama berpasukan dalam kalangan pelajar.
Katanya, kejayaan program itu membuktikan bahawa golongan mahasiswa bukan sahaja mampu menyumbang tenaga dan idea, malah boleh menjadi pemangkin kepada usaha pemuliharaan alam sekitar yang lebih berkesan pada masa akan datang.
“Saya berharap agar lebih banyak program sebegini dapat dianjurkan bagi memberi peluang kepada mahasiswa untuk terus mendekati masyarakat dan memahami kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.
“Menariknya, peserta juga dimaklumkan bahawa ikan bandaraya sebenarnya boleh dimakan dan dimasak jika diproses dengan betul.
“Walaupun sering dianggap sebagai ikan yang tidak bernilai, namun ikan bandaraya boleh dijadikan sumber makanan alternatif.
“Ia membuka perspektif baharu dalam kalangan peserta mengenai potensi spesies invasif ini,” katanya.
Mengulas mengenai pengurusan hasil tangkapan, Nur Ain memberitahu, isi ikan bandaraya dikumpulkan, sebelum dihantar ke kilang pemprosesan untuk dijadikan baja kompos.
Ujarnya, pendekatan itu menyokong konsep ekonomi kitaran dan memastikan setiap hasil tangkapan dimanfaatkan secara optimum.
“Pihak SPIA memaklumkan bahawa ikan yang ditangkap tidak dimakan, sebaliknya dikumpul dalam tong atau guni untuk dilupuskan dengan cara ditanam atau diproses menjadi baja kompos.
“Manakala telur ikan yang diasingkan akan dilupuskan secara terkawal bagi memastikan ia tidak menetas semula.
“Program ini turut menawarkan insentif kepada peserta, dengan RM1 diberikan bagi setiap satu kilogram ikan bandaraya yang berjaya ditangkap.
“Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan penyertaan aktif dalam kalangan peserta, malah menjadi motivasi tambahan untuk meningkatkan jumlah tangkapan sepanjang program berlangsung,” jelasnya.
Tambahnya, ikan bandaraya dikenal pasti sebagai spesies invasif yang memberi kesan besar kepada ekosistem sungai.
“Kehadiran ikan itu boleh mengancam populasi ikan tempatan, merosakkan struktur dasar sungai serta mengganggu keseimbangan rantaian makanan,” ujarnya
Ujar Nur Ain, usaha pengawalan melalui program seperti itu amat penting dalam memastikan kelestarian biodiversiti air tawar terus terpelihara.














