SEBAHAGIAN mangsa banjir yang tinggal di PPS Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela, Kuala Selangor.

Penghuni PPS Kuala Selangor mula tertekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Tekanan mula menghantui sebahagian mangsa banjir di daerah ini yang semakin hilang sabar me­ngenangkan nasib mereka selepas hampir dua minggu tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat pukul 5.30 petang semalam, seramai 1,655 mangsa daripada 460 keluarga masih menetap di 10 buah PPS di daerah ini, tanpa mereka mengetahui bilakah episod duka itu akan berakhir.

Ketika ini, sebahagian kawasan masih digenangi banjir termenung, sekali gus memaksa penduduk terus berlindung di PPS demi keselamatan diri.

Seorang mangsa, Muhammad Shahmil Saini, 33, berkata, dia tidak menafikan mula tertekan ke­rana terpaksa tinggal lama di PPS akibat banjir termenung.

“Saya tidak tahu apa nasib kami sekeluarga selepas bencana ini berakhir. Peti ais, sofa, katil dan beberapa barangan keperluan asas lain pasti akan rosak kerana terlalu lama terendam dalam air.

“Lebih membimbangkan, pintu rumah juga sudah pasti tidak boleh dibuka atau ditutup akibat mengembang selepas terlalu lama ditenggelami air,” katanya ketika ditemui Kosmo! di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela, di sini malam kelmarin.

Dia yang merupakan anak jati Kampung Bukit Kucing berkata, dia tinggal di PPS itu bersama isteri dan dua anaknya sementara menunggu air surut.

Muhammad Shahmil berharap kejadian banjir termenung yang melanda keluarganya kali ini menjadi yang terakhir dan tidak berulang pada masa akan datang.

“Banjir termenung kali ini pa­ling lama pernah saya alami sejak banjir besar melanda negara pada 2021.

“Sehingga kini, paras air di rumah masih tinggi, iaitu mencecah paras lutut. Setiap tahun, saya sekeluarga terpaksa berdepan banjir seperti ini,” katanya.

MARPUAH yang berkerusi roda tidak mahu lagi tinggal di PPS SK Dato’ Maharaja Lela, Kuala Selangor kerana sukar untuk bergerak di pusat itu.

Seorang lagi mangsa banjir, Marpuah Sanusi, 62, juga me­ngakui tidak sanggup tinggal terlalu lama di PPS kerana berdepan kesukaran untuk menggunakan tandas di sekolah itu berikutan kedudukannya yang tinggi, selain dirinya yang berkerusi roda.

Wanita dari Kampung Bukit Hijau itu berkata, dia mengambil keputusan untuk pulang dan tinggal di rumahnya yang masih digenangi air meskipun menye­dari tindakan itu berisiko terhadap keselamatannya.

“Nasib baik adik-beradik saya tinggal berdekatan dan mereka banyak membantu, termasuk mengangkat saya untuk ke tandas.

“Malah, mereka juga membantu mencuci luka pada kaki kanan saya setiap hari selepas empat jari kaki saya dipotong,” katanya.

Empat jari kaki Marpuah terpaksa dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis pada Disember tahun lalu.

AMIRUDIN (tengah) menyantuni mangsa banjir bagi menceriakan mereka ketika melawat PPS SK Dato’ Maharaja Lela di Kuala Selangor malam kelmarin.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, individu yang memecahkan ban di Sungai Buloh yang menjadi salah punca banjir termenung di Kuala Selangor sejak dua minggu lalu telah ditahan polis selepas laporan dibuat.

“Ini kali kedua ban ini pecah oleh pihak terbabit dan hal tersebut telah menyebabkan Kampung Parit Mahang dan kampung sekitar mengalami banjir ketika ini.

“Saya percaya pihak berkuasa akan ambil tindakan undang-undang ke atas pihak ini kerana mereka telah menceroboh tanah kerajaan. Untuk makluman, kawasan yang dibina ban adalah kawasan rizab sungai (milik kerajaan),” katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS SK Dato’ Maharaja Lela.

Menurutnya, Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS) telah melakukan penampan pada kawasan ban yang pecah dan diharap penampalan itu akan mengurangkan aliran air sungai masuk ke kawasan darat.

Beliau juga menjangkakan banjir di Kuala Selangor akan surut dalam tempoh dua hari lagi, susulan air laut akan mulai surut dalam tempoh sama.

Selain Kuala Selangor, tiga daerah di Selangor turut dilanda banjir iaitu Klang melibatkan 113 mangsa daripada 31 keluarga, Gombak (25 mangsa, lima keluarga) dan Kuala Langat (20 mangsa, lima keluarga). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN