PETALING JAYA – Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong memohon maaf secara terbuka berhubung hantaran beliau sebelum ini mengenai arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu pada setiap Jumaat.
Beliau mengakui terdapat kelemahan dalam penyampaian pandangannya sehingga menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan dan mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam.
Menurutnya, pemilihan kata-kata dan nada hantaran berkenaan menjadi punca perkara itu berlaku.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya amat menghormati agama Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama mereka.
“Saya sama sekali tidak berniat untuk mempertikaikan atau memperkecilkan kepentingan ibadah tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau turut mengakui sebagai wakil rakyat dan pemimpin, dirinya sepatutnya lebih berhati-hati, bertanggungjawab serta sensitif ketika menyampaikan pandangan, terutama membabitkan isu agama dan sensitiviti masyarakat majmuk.
Khoo berkata, beliau menerima segala teguran dan kritikan dengan hati terbuka serta mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian tersebut.
Beliau turut memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terluka dengan hantaran berkenaan.
Katanya, insiden itu akan dijadikan iktibar dan beliau akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan pada masa hadapan.
Kontroversi tercetus selepas Poay Tiong menerusi hantaran Facebook mempersoalkan arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu dari pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.
Beliau antaranya membangkitkan persoalan mengenai skop penguatkuasaan terhadap premis perniagaan bukan Islam serta sama ada pendekatan serupa wajar dilaksanakan di Melaka.
Hantaran berkenaan kemudiannya dipadam dan Poay Tiong mengeluarkan penjelasan bahawa beliau tidak mempertikaikan solat Jumaat atau amalan yang telah lama dilaksanakan di Terengganu.
Isu itu bagaimanapun terus mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk dalam kalangan DAP sendiri, selain Pemuda UMNO Terengganu dan pegawai khas Menteri Besar Terengganu yang turut menggesa beliau memohon maaf. – KOSMO! ONLINE














