PETALING JAYA – Penyampai radio ERA mencipta sejarah apabila berjaya mengendalikan dan merakam kandungan radio ketika terjun dari ketinggian 13,000 kaki, sekali gus meraih pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Records.
Pencapaian menerusi projek Dari Udara Ke Udara itu membabitkan penyampai 3 Pagi ERA, Nabil Ahmad dan Azad Jasmin yang melakukan tiga terjunan tandem, dengan rakaman audio siaran bermula dari pesawat berlepas dan ketika berada di udara sehingga mendarat.
Cabaran itu ditaja oleh MBSB Bank serta diiktiraf menerusi kategori First and Highest Altitude Radio Breakfast Show Talk Sets Hosted and Recorded in Freefall, iaitu siaran segmen bual rancangan radio sarapan pagi pertama dan tertinggi yang dikendalikan serta dirakam ketika terjunan bebas di rantau ASEAN dan Asia.
Nabil melakukan dua terjunan bagi menggantikan rakan penyampai, Radin, yang tidak dapat menyertai cabaran berkenaan kerana berangkat menunaikan umrah.
Percubaan asal dijadualkan berlangsung pada 18 November lalu di Drop Zone Skydive Terengganu, Marang, namun terpaksa dibatalkan selepas pesawat mengalami masalah teknikal.
Bagaimanapun, pasukan ERA tidak berputus asa apabila memindahkan keseluruhan cabaran ke Rayong, Thailand, sebelum berjaya menyempurnakannya semalam, 20 November.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pengadil ASEAN Records dan ASIA Records, Gillian Ooi berkata, rekod tidak semestinya memerlukan pencapaian terdahulu, sebaliknya keberanian untuk menjadi yang pertama.
Menurut beliau, pasukan ERA boleh sahaja menangguhkan cabaran itu apabila pesawat di Terengganu tidak dapat beroperasi, namun memilih untuk memindahkan keseluruhan percubaan ke negara lain dalam tempoh hanya dua hari.
“Pengadil turut mengikuti peserta dari darat hingga ke ketinggian 13,000 kaki sebelum kembali ke darat bagi memastikan semua syarat rekod dipenuhi,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin berkata, 3 Pagi ERA sentiasa berusaha membawa pendengar meneroka pengalaman baharu setiap pagi, dan kali ini mereka membawa pendengar merasai pengalaman di udara.
“Kami berterima kasih kepada MBSB Bank kerana menjayakan perkara ini, kepada penyampai atas keberanian mereka, serta kepada seluruh pasukan yang tidak berputus asa meskipun perancangan terpaksa diubah,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan berkenaan turut didedikasikan kepada pendengar setia ERA yang sentiasa menjadi inspirasi kepada stesen radio itu untuk menghasilkan kandungan kreatif dan menghiburkan.
“Pendengar merupakan inspirasi terbesar kami untuk terus menghasilkan kandungan yang kreatif dan menghiburkan. Kejayaan ini adalah milik mereka juga.
“Kami berharap pencapaian ini menjadi pembakar semangat untuk ERA terus meneroka idea dan pengalaman baharu pada masa akan datang,” katanya.
Siaran khas selama dua jam 3 Pagi ERA yang menampilkan pengalaman terjunan berkenaan disiarkan dari pukul 4 hingga 6 petang pada 20 November 2026. – KOSMO! ONLINE














