KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara memulakan kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-32 dengan langkah kanan apabila menundukkan Korea Selatan 3-0 pada aksi pembukaan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, di sini, malam ini.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, barisan pemain negara mempamerkan aksi meyakinkan apabila menghasilkan ketiga-tiga gol kemenangan pada suku ketiga dan keempat permainan.
Pada perlawanan tersebut, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal membuka tirai jaringan buat Malaysia pada minit ke-36 sebelum Azimudin Kamaruddin menggandakan kelebihan negara, dua minit kemudian.
Faizal Shaari kemudiannya melengkapkan kemenangan bergaya Speedy Tigers apabila menyempurnakan pukulan penalti stroke pada minit ke-56.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengutip tiga mata penuh pada aksi pertama sekali gus memberikan suntikan motivasi menjelang perlawanan seterusnya dalam kejohanan berkenaan.
Dalam dua lagi aksi hari ini, Australia dan Pakistan turut memulakan kempen masing-masing dengan kemenangan selepas menewaskan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, masing-masing dengan keputusan 5-1.
Australia yang tampil sebagai antara pasukan pilihan kejohanan tidak berdepan masalah menundukkan AS, yang membuat penampilan dalam kejohanan berkenaan, apabila mendahului 5-0 sebelum lawan meraih gol saguhati menerusi Mehtah Grewal pada minit ke-43.
Dalam satu lagi perlawanan, Pakistan turut mencatat kemenangan 5-1 ke atas Kanada untuk memulakan kempen dengan tiga mata penuh.
Skuad negara kini perlu mengalihkan tumpuan kepada aksi kedua menentang Kanada 7.30 malam esok, dalam usaha meneruskan momentum kemenangan. -KOSMO! ONLINE














