DUNIA hiburan sering menyaksikan ramai anak seni mencuba pelbagai cabang kerjaya sepanjang perjalanan mereka. Ada yang bermula sebagai pelakon, penyanyi, pengacara mahupun bintang program realiti sebelum menemui ‘rumah’ sebenar dalam bidang penyiaran radio.
Menariknya, meskipun nama mereka pernah meledak menerusi kerjaya seni lain, ada dalam kalangan selebriti ini yang akhirnya lebih dikenali menerusi suara mereka di corong radio.
Malah, ada yang berjaya membina nama dalam dunia penyiaran lebih sedekad sehingga generasi baharu mengenali mereka sebagai penyampai radio terlebih dahulu berbanding karier seni lain yang pernah mereka ceburi suatu ketika dahulu.
Minggu ini, Gala menyenaraikan selebriti yang membuktikan bahawa kejayaan dalam dunia hiburan tidak semestinya terhad kepada satu bidang, sebaliknya berkembang menjadi antara personaliti radio popular tanah air.

Aishah Sinclair
AISHAH Sinclair memulakan langkah dalam dunia seni sebagai model, pelakon dan pengacara televisyen. Wajahnya yang manis serta imej profesional menjadikannya antara selebriti wanita yang mendapat tempat dalam industri hiburan tempatan.
Antara rancangan televisyen yang pernah dikendalikan selaku pengacara adalah Pilates (Astro), Life Traits (RTM), Voice Your Choice (8TV) dan Rock Unite (ntv7) sebelum menyertai Quickie lewat tahun 2006.
Selain itu, Aishah juga muncul sebagai pelakon undangan dalam siri televisyen Gol & Gincu The Series.
Karier Aishah kemudian berkembang ke dunia radio apabila menyertai keluargaMix FM dan kini bersiaran menerusi segmen Mix Breakfast.

Sharifah Shahirah
Nama Sharifah Shahirah atau lebih mesra disapa Shiera mula dikenali dalam industri hiburan sebagai pelakon dan pengacara televisyen sekitar era 1990-an. Bakat semula jadinya yang petah bercakap dan memiliki personaliti spontan menjadikannya antara selebriti wanita yang mudah mencuri perhatian.
Sepanjang bergelar pelakon, Shiera pernah membintangi pelbagai naskhah antaranya filem Femina, Soalnya Siapa? dan Buli selain kerap muncul sebagai pengacara program hiburan serta acara televisyen berskala besar.
Kelebihan berkomunikasi secara santai dan menghiburkan membuka ruang kepadanya untuk menceburi dunia penyiaran radio. Shiera kemudian dilamar Suria FM pada 2011 sebelum menyertai Era dan kini bersama Sinar FM.

Dina Nadzir
Sebelum bergelar penyampai radio, Dina Nadzir terlebih dahulu mencipta nama sebagai penyanyi selepas bergelar naib juara program realiti Malaysian Idol 2004 ketika berusia 19 tahun.
Pada 2006, Dina telah dicalonkan untuk dua kategori di Anugerah Industri Muzik ke-13, iaitu Top 5 Persembahan Vokal Terbaik dalam album menerusi album Cinta Datang Lagi dan Top 5 Artis Baharu Terbaik.
Namun begitu, Dina nampaknya lebih cemerlang dan popular dalam dunia penyiaran radio yang lebih dekat dengan minat dan personalitinya. Bermula dengan Era, kini nama Dina Nazir lebih sinonim menerusi segman Sinar Solo di radio Sinar FM.

Raja Azura
Raja Azura merupakan antara figura seni serba boleh yang pernah mencuba hampir semua cabang seni.
Mula mencipta nama sebagai penyanyi sebelum melebarkan pengaruh dalam bidang lakonan menerusi pelbagai drama, filem dan program televisyen.
Sikap ceria, spontan dan mesra yang dimiliki Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku menjadikannya pilihan sesuai untuk dunia penyiaran radio. Kak Engku menyertai radio Sinar FM pada 2007 sehingga 2015.

Johan Raja Lawak
Nama Johan mula dikenali selepas muncul sebagai juara program realiti Raja Lawak musim pertama yang menjadi pembuka jalan karier seninya. Selepas kemenangan itu, Johan aktif sebagai pelakon, pelawak dan pengacara televisyen dengan pelbagai kemunculan dalam program hiburan popular.
Bakat semula jadi dalam berkomunikasi dan mencetuskan humor akhirnya membawanya ke konti radio apabila menyertai Era FM menerusi segmen JoHaRa Pagi Era dari 2011 sehingga 2022.
Johan kemudian bertugas di radio Hot FM bermula 2022 dan suaranya boleh didengari menerusi segmen Bekpes Hot bersama Khairy Jamaluddin (KJ), Fara Fauzana dan AG.

Jason Lo
Jason Lo terlebih dahulu dikenali sebagai penyanyi dan pemuzik menerusi beberapa lagu popular berbahasa Inggeris yang mendapat perhatian sekitar awal tahun 2000-an. Selain aktif menghasilkan muzik sendiri, beliau turut dikenali sebagai komposer dan individu yang terlibat dalam industri kreatif tempatan.
Jason kemudian menyertai Hitz FM. Gaya penyampaiannya yang santai dan bersahaja menjadikannya mudah diterima pendengar termasuk generasi muda.















