Setiap individu termasuk anak seni perlu mengutamakan keselamatan diri serta berani menyuarakan perkara yang melampaui batas. - GAMBAR JANAAN AI

Gangguan seksual: Apa nasib anak seni?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU gangguan seksual di lokasi penggambaran kembali menjadi perhatian apabila beberapa pendedahan dibangkitkan mengenai keselamatan penggiat seni dan batas profesional dalam industri hiburan.

Meski sesetengah babak memerlukan sentuhan fizikal mengikut kehendak skrip, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar persetujuan atau melakukan sesuatu yang membuatkan individu lain berasa tidak selesa.

Situasi berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai ketidakseimbangan kuasa antara pelakon, kru dan pihak produksi, khususnya apabila individu yang berdepan gangguan bimbang kehilangan peluang pekerjaan sekiranya tampil membuat aduan.

Setiap adegan yang melibatkan sentuhan fizikal sewajarnya mempunyai persetujuan jelas antara pelakon dengan pengarah dan dilaksanakan mengikut keperluan skrip.

Namun, alasan tuntutan skrip semata-mata mahu menambah perasa untuk jalan cerita tidak seharusnya digunakan untuk menghalalkan tindakan yang dianggap melampaui batas

Pada masa sama, mereka yang ‘berkuasa’ menentukan watak, bayaran dan peluang pekerjaan mungkin berada dalam kedudukan lebih dominan berbanding pelakon baharu atau kru yang masih membina kerjaya.

Tidak hanya itu, syarikat produksi dan penerbit seharusnya lebih awal menyediakan garis panduan dan prosedur yang jelas bagi mengelakkan sebarang isu.

Aktres Diana Danielle berpandangan, perbuatan tersebut boleh berlaku di mana-mana dan tidak wajar dikaitkan dengan golongan anak seni semata-mata.

Bagaimanapun, dia mengakui industri kreatif lebih terdedah kepada risiko berikutan ketiadaan sistem pengurusan sumber manusia yang tersusun untuk melindungi penggiat seni.

“Perangai jijik manusia ini ada di mana-mana, bukan dalam industri kita semata-mata. Dalam sektor korporat pun ada, malah di bangku sekolah juga ramai jadi mangsa gangguan seksual.

“Cuma yang menjadikan industri kita lebih rapuh adalah kerana tidak dikawal selia seperti sektor lain yang mempunyai bahagian HR untuk mengadu.

“Sebab itu penting untuk kita sentiasa memberi ruang kepada mangsa untuk bersuara, tidak kira sama ada dia pelakon atau kru di belakang tabir,” katanya.

Selain isu perlindungan di set penggambaran, Diana turut menyentuh kecenderungan sesetengah individu menggunakan media sosial, khususnya aplikasi Threads, untuk mendedahkan pengalaman atau salah laku yang didakwa berlaku.

“Bagi saya, menggunakan platform media sosial untuk menyuarakan kesalahan undang-undang itu tidak salah dan bukan membuka aib tetapi pastikan ada sokongan aduan, laporan polis atau proses mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman kepada pesalah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon, Nadia Brian mengingatkan penggiat seni supaya segera melaporkan sebarang perlakuan tidak wajar yang berlaku sepanjang penggambaran dan tidak membiarkannya tanpa sebarang tindakan.

Menurutnya, setiap individu perlu mengutamakan keselamatan diri serta berani menyuarakan perkara yang melampaui batas.

“Apa sahaja perkara yang tidak betul berlaku ketika penggambaran, terus laporkan dan jangan diamkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN