BANGI – Pasangan kembar orang kurang upaya (OKU) kerdil membuktikan kekurangan fizikal tidak mematahkan semangat mereka apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Sastera (Kesusasteraan) pada Majlis Konvokesyen ke-54 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini kelmarin.
Nik Nurul Najaa Mohd. Yasin, 26, dan adiknya, Nik Nurul Najwa masing-masing graduan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM menerima sarjana daripada Pro-Canselor UKM, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz kelmarin.
Berkongsi kejayaan, Nik Nurul Najaa berkata, mereka tidak pernah berpisah sejak bangku sekolah sebelum bersama-sama menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera pada 2020 di UKM.
“Tahun 2020 pandemik Covid-19 dan ketika itu belajar secara dalam talian. Kemudian pada 2023, kami dibenarkan masuk ke kampus dan ditempatkan dalam bilik yang sama.
“Selepas graduasi, kami meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana juga di UKM. Kami membesar sama-sama, duduk bersebelahan di dalam kelas, malah jika tugasan kumpulan kerja pun memang tetap bersama,” katanya kepada Kosmo!.
Guru tadika yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu berkata, ketika mahu melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dahulu, hanya Nik Nurul Najwa yang memperoleh tawaran di UKM, manakala dia tidak berjaya pada peringkat awal.
“Saya mohon UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dalam bidang pendidikan, tapi tak berjaya. Saya buat rayuan kedua di UKM memandangkan dia (adik) dapat di sini, termasuk memilih jurusan sama.
“Ketika menyambung ijazah sarjana juga, kami menjalankan kajian tesis yang diselia oleh penyelia yang sama,” katanya.
Nik Nurul Najwa berkata, pelbagai cabaran dihadapi dalam perjalanan menyambung pengajian tersebut termasuk dari segi kewangan.
“Kami tak ada kelas, jadi cabaran termasuk nak urus masa selain kewangan memandangkan tidak memohon sebarang bantuan, kesemuanya ditanggung oleh keluarga,” katanya yang gemar berpakaian sedondon dengan kakaknya.
Pasangan kembar yang juga merupakan anak pesara guru itu berkata, mereka adakalanya menjadi perhatian ramai ketika berada di luar dan sering ditanya tentang umur dan saiz fizikal.














