‘The Pocket Rocketman’ kini bergelar doktor falsafah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang kini bergelar Doktor selepas dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Pengiktirafan tertinggi itu dikurniakan sendiri oleh Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-54 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak.

Atlet berusia 38 tahun itu sempat mengimbau kembali detik paling getir dalam hidupnya apabila disahkan menghidap masalah jantung kronik, Anomalous Right Coronary Artery (kelainan salur darah koronari sejak lahir) selepas Olimpik Tokyo.

Lebih meruntun jiwa, pakar kardiologi di Melbourne pernah ‘mematikan’ harapannya untuk kembali berlumba kerana belum ada sejarah atlet dunia mampu bangkit selepas pembedahan besar sebegitu.

“Saya boleh menerima kata-kata itu sebagai satu pengakhiran atau terus mencuba. Namun, saya memilih untuk meneruskan perjuangan.

“Sekiranya bersara, mungkin saya tidak akan berdiri di hadapan anda semua hari ini dan tidak berpeluang mencipta sejarah meraih dua emas Piala Dunia Trek UCI di Perth dan Nilai, serta emas Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya baru-baru ini,” katanya sebak.

Beliau yang menyifatkan gelaran Doktor ini sebagai satu amanah besar turut menitipkan pesanan ‘mahal’ buat generasi muda agar tidak mudah mengaku kalah dengan ujian hidup.

“Kejayaan bukan hanya milik mereka yang dilahirkan dengan kelebihan, tetapi milik mereka yang sanggup bekerja keras, berdisiplin, berani hadapi kegagalan dan tidak pernah berputus asa,” ujarnya yang turut mendedikasikan anugerah itu buat isteri, anak-anak dan seluruh rakyat Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN