HULU SELANGOR – Dua pekerja pembersihan maut dipercayai disedut pusaran air ketika melakukan kerja pembersihan saluran tersumbat dalam kolam takungan air hujan sebuah premis perkhidmatan kebersihan di Bukit Tagar di sini.
Kejadian pada pukul 11 pagi, Rabu lalu meragut nyawa mangsa warga tempatan berusia 27 dan 30 tahun. Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap dalam lubang overflow chamber sebelum lemas.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang melakukan kerja penyelenggaraan dan membersihkan sisa sampah yang menyumbat bahagian overflow chamber kolam berkenaan.
“Sebaik laluan air dibuka, pusaran air kuat berlaku menyebabkan mereka disedut masuk dan terperangkap dalam lubang berkenaan akibat tekanan arus.
“Seorang lagi pekerja berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan itu, JKKP Selangor mengeluarkan Notis Larangan bagi aktiviti pembersihan overflow chamber yang tersumbat serta Notis Pembaikan berikutan kegagalan majikan menjalankan pentaksiran risiko bagi kerja itu.
Siasatan lanjut turut dijalankan termasuk memanggil pihak majikan dan saksi kejadian untuk dirakam keterangan. – KOSMO! ONLINE














