IPOH – Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini setakat ini merekodkan empat insiden berkaitan lemas dan mangsa hanyut dalam tempoh empat hari bermula 8 November sehingga semalam dengan tiga kes daripadanya mengakibatkan kematian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, berdasarkan rekod sehingga hari ini, kejadian berkenaan berlaku di empat lokasi berasingan.
“Lokasi pertama di Air Terjun Taman Suria, Taiping pada 8 November diikuti Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor pada 9 November melibatkan mangsa yang dikhuatiri lemas.
“Dua lagi insiden dilaporkan di Sungai Jahang, Gopeng pada 10 November dan Sungai Jalong pada 11 November,” katanya di sini hari ini.
Katanya, MTL meningkatkan risiko kejadian kepala air, arus deras dan banjir kilat di kawasan sungai, air terjun serta kawasan rekreasi air.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti mandi-manda dan berenang di sungai serta air terjun sepanjang musim hujan.
Sabarodzi memaklumkan, orang ramai juga diingatkan supaya tidak menghampiri kawasan sungai yang mempunyai arus deras selain sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan papan tanda amaran. – KOSMO! ONLINE
















