KUALA LUMPUR – HONOR, syarikat ekosistem peranti Al terkemuka global, hari ini telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) masing-masing dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Tourism Malaysia.
MoU tersebut bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada bakat kreatif tempatan serta memperkenalkan destinasi, budaya dan warisan Malaysia kepada khalayak antarabangsa menerusi penceritaan sinematik.
Sempena kerjasama tersebut, HONOR Magic9 Pro Max, telefon pintar mercu baharu yang bakal dilancarkan turut diumumkan sebagai ‘Telefon Pintar Pengimejan Sinematik Rasmi’ Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) dan Tourism Malaysia bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.
MoU antara FINAS dan HONOR yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menggabungkan peranan FINAS dalam pembangunan industri perfileman dengan kepakaran HONOR dalam teknologi pengimejan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pembikin filem menggunakan peranti mudah alih.
Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan menyediakan peluang kepada pembikin filem, pencipta kandungan dan bakat baharu untuk membina kemahiran, mencuba teknologi pengimejan mudah alih dan mengetengahkan karya mereka.Â
Kerjasama itu turut menggalakkan penghasilan filem dan kandungan digital yang mengangkat cerita, budaya dan warisan Malaysia untuk tatapan khalayak tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif HONOR Malaysia, Ethan Chen berkata, HONOR berkomited untuk menyokong perkembangan industri perfileman tempatan dengan memperkasakan komuniti kreatif melalui akses kepada teknologi inovatif, pembangunan kemahiran dan peluang untuk meneroka potensi kreatif mereka dalam bidang pembikinan filem menggunakan telefon pintar.
“Teknologi pengimejan sinematik HONOR Magic9 Pro Max membolehkan lebih ramai rakyat, termasuk pembikin filem baharu dan pencipta kandungan, menghasilkan video sinematik berkualiti tanpa perlu bergantung kepada peralatan mahal.
“Ini membuka lebih banyak peluang untuk mengetengahkan karya dan penceritaan tempatan kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.
Sementara itu, mengetengahkan Malaysia melalui lensa pencipta tempatan HONOR memperbaharui kerjasamanya dengan Tourism Malaysia bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.Â
Antara aktiviti yang dirancang ialah bengkel, pertandingan fotografi, pameran seni dan acara kebudayaan.Â
Aktiviti ini mengajak rakyat Malaysia merakam keindahan landskap, kekayaan warisan dan pengalaman budaya unik setempat daripada perspektif mereka sendiri serta berkongsi hasilnya dengan khalayak antarabangsa.
“Kami berhadap kolaborasi berterusan ini dapat mengajak lebih ramai rakyat merakam kandungan tentang keindahan dan keunikan Malaysia kepada dunia bagi menarik lebih ramai pelancong” kata Chen.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, seiring dengan usana mempergiat inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, gabungan teknologi pintar dan media visual berkaliber tinggi membolehkan kami mendekati pelancong masa kini dengan cara panaru yang lebih dinamik.Â
“Pembaharuan kerjasama dengan HONOR, peneraju global teknologi peranti Al, membolehkan kami terus memaparkan keindahan semula jadi, kemeriahan budaya dan kekayaan warisan Malaysia melalui fotografi berteknologi termaju dan penceritaan digital selaras dengan ungkapan ‘Malaysia, Beautifully Yours’,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















