KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Shukor Adan enggan anak buahnya terus dibelenggu kekecewaan selepas kekalahan 0-2 kepada Palestin pada aksi pertama Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-17 2027 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.
Sebaliknya, Shukor menuntut anak buahnya kekal bermotivasi kerana peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 belum lagi tertutup.
“Saya sudah bercakap dengan pemain bahawa perkara ini belum mustahil lagi kerana kita masih mempunyai peluang. Kita perlu melupakan apa yang berlaku malam ini (semalam) dan tidak boleh terus tunduk.
“Kita kena fokus kepada perlawanan seterusnya, sama ada perlawanan kedua atau ketiga. Jangan kalah sekali, semua perlawanan kita kalah, Paling penting, kita perlu terus memberikan motivasi kepada pemain,” katanya.
Sepanjang 90 minit permainan, kelemahan penyudah menjadi penghalang utama skuad muda negara untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan seri apabila beberapa peluang terbaik gagal diterjemahkan kepada jaringan, sekali gus menuntut kerja keras barisan kejurulatihan sebelum menghadapi Singapura, Sabtu ini.
Walaupun mengekalkan kemahuan untuk bangkit, usaha yang diatur pemain muda negara tidak membuahkan hasil sekali gus mengesahkan tiga mata buat Palestin yang memperoleh dua gol menerusi Abdelrahman Sharifeh dan Yousef Alexander Bustami.
“Ada beberapa bahagian yang perlu kita perbaiki, terutama dari segi perancangan kerana ada perkara yang tidak menjadi seperti dirancang. Kita juga perlu memperbaiki kesilapan teknikal apabila kehilangan bola di kawasan berbahaya.
“Selain itu, komunikasi dan proses membuat keputusan yang agak lambat menyebabkan kita beberapa kali dihukum akibat kesilapan sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















