PETALING JAYA – Sembilan jajahan di Kelantan diramal berdepan risiko banjir bermula semalam hingga Rabu ini susulan hujan berterusan yang dijangka melanda negeri berkenaan.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) memaklumkan, ramalan awal itu dikeluarkan berdasarkan susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam.
Menurut PRABN, kawasan yang berisiko dilanda banjir melibatkan Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli.
“Banjir berkemungkinan berlaku terutama di kawasan hotspot banjir, kawasan rendah dan berisiko banjir yang terletak dalam lembangan sungai utama di sembilan jajahan terbabit.
“Antara kawasan yang dijangka terjejas ialah Lembangan Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak,” menurut kenyataan itu.
PRABN memaklumkan, antara sungai yang perlu diberikan perhatian termasuk Sungai Lebir dan Sungai Galas di Kuala Krai, Sungai Pergau dan Sungai Jeli di Jeli serta Sungai Kerawang dan Sungai Kweng Hitam di Machang.
Selain itu, kawasan sekitar Sungai Lemal di Pasir Mas, Sungai Pengkalan Nangka di Tumpat serta Sungai Jelawat dan Sungai Melor di Bachok turut dikenal pasti berisiko.
Sehubungan itu, penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan supaya meningkatkan kesiapsiagaan serta sentiasa mengikuti perkembangan amaran banjir.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada masa yang dijangkakan.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi portal rasmi Public InfoBanjir di https://publicinfobanjir.water.gov.my/. – KOSMO! ONLINE
















