KUALA TERENGGANU – Banjir besar yang menenggelamkan sebahagian Shah Alam, Klang dan Hulu Langat pada 2021 dijangka tidak berulang walaupun Lembah Klang sedang mengalami hujan lebat melebihi 100 mililiter setiap hari.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, situasi banjir kilat yang sedang berlaku pada musim tengkujuh di Lembah Klang pada masa ini diramal tidak akan menyebabkan hujan lebat terlalu ekstrem.
Katanya, banjir pada 2021 disebabkan lekukan tekanan rendah dari perairan Kepulauan Borneo yang bergerak menembusi Semenanjung sebelum kekal di Selat Melaka dalam tempoh lama.
“Ia merupakan pusat penumpuan kelembapan yang telah menyebabkan hujan lebat ekstrem di Lembah Klang pada masa itu.
“Kebetulan ia berlaku serentak dengan fenomena La Nina dan ribut taufan Rai. Kejadian sebegini amat unik dan jarang berlaku,” katanya.
Menurut Jing Xiang, senario di Lembah Klang pada masa ini pula berbeza dengan hujan lebat tersebut disebabkan oleh Ayunan Madden-Julian (MJO) fasa dua yang berpusat di Lautan Hindi.
Tambahnya, hujan lebat melanda Pantai Barat khususnya Lembah Klang dijangka berkurangan sehingga pertengahan bulan ini pada hujung minggu depan setelah MJO tersebut melemah dan memasuki fasa tiga.
“Fenomena El Nino yang melemahkan angin Timuran juga telah mengurangkan potensi taburan hujan ekstrem yang mungkin menyebabkan banjir luar biasa pada tahun 2021 berulang,” katanya.
Bagaimanapun kata Jing Xiang, penduduk disarankan memberikan perhatian terhadap sebarang pemberitahuan perubahan cuaca semasa oleh Jabatan Meteorologi.
Baru-baru ini, beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk Kampung Melayu Subang kerap dilanda banjir sejak bermulanya tempoh Monsun Timur Laut sejak hujung September lalu.
Stesen Meteorologi Utama Subang, Selangor telah mencatatkan taburan hujan harian paling lebat di negara ini dengan bacaan 89.4 milimeter.
Sementara itu di Petaling Jaya, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, penduduk di kawasan rendah dan persisiran diminta berwaspada susulan jangkaan fenomena air pasang besar dengan paras air boleh mencecah hingga 5.2 meter.
Katanya, keadaan itu berpotensi menyebabkan pertembungan aliran air dari kawasan Sungai Buloh dan Ijok dengan fenomena air pasang, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.
“Kami belum menerima laporan baharu berhubung kejadian itu, namun pemantauan terus dilakukan bagi memastikan sebarang keperluan bantuan dapat disalurkan segera,” katanya.
















