Gambar hiasan

Pengalaman banjir 2014 jadi panduan penting JBPM Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU — Pengalaman menghadapi banjir besar pada 2014 menjadi panduan penting Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana luar biasa di negeri itu.

Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan berkata, kejadian berkenaan memberikan pengajaran besar kepada pihaknya apabila kawasan yang terjejas terlalu luas sehingga membataskan keupayaan pasukan penyelamat menjalankan operasi ketika itu.

“Walaupun jabatan mempunyai pelan kesinambungan perkhidmatan bagi memastikan operasi balai bomba dapat diteruskan sekiranya sesebuah balai turut dilanda banjir, skala bencana pada 2014 terlalu besar untuk ditangani menggunakan kemampuan negeri semata-mata.

“Pada masa tersebut kita pun menjadi mangsa. Apa yang kita boleh buat adalah menerima bantuan daripada luar, daripada negeri-negeri lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, situasi sedemikian menunjukkan keperluan bantuan antara negeri, khususnya dari segi anggota dan aset, bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan sekiranya bencana melangkaui kemampuan agensi di peringkat negeri.

Katanya, perancangan mewujudkan Regional Forward Base juga antara pendekatan bagi meningkatkan keupayaan tindak balas sekiranya banjir besar berulang.

Farhan Sufyan berkata, tempoh satu hingga enam jam pertama selepas bencana berlaku merupakan fasa paling mencabar bagi agensi penyelamat berikutan banyaknya panggilan kecemasan yang diterima serta keperluan menggerakkan anggota dan aset ke kawasan terjejas.

Bagaimanapun beliau berkata, perancangan rapi, latihan berterusan dan penyelarasan antara agensi mampu membantu mengawal keadaan dengan lebih cepat, selain mengelakkan pertindihan operasi.

“Mana-mana bencana, peringkat pertama memang kelam-kabut. Tetapi keadaan itu sekiranya dirancang dengan betul dan disertai latihan, ia dapat dikawal serta tempoh kekacauan dapat dipendekkan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dan perbincangan berterusan antara agensi juga penting bagi memastikan setiap pihak memahami peranan masing-masing, sekali gus melancarkan operasi menyelamat terutama ketika bencana melibatkan kawasan luas.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Kelantan, Pahang, Sabah dan seluruh Terengganu hingga Rabu ini.

Menurut MetMalaysia, kawasan terlibat di Kelantan ialah Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Machang, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Jeli.

Susulan amaran itu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan sembilan jajahan di Kelantan berkemungkinan dilanda banjir dalam tempoh semalam hingga Rabu ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN