Ketika MetMalaysia mengumumkan Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 akan bermula pada 27 Oktober 2026 sehingga Mac 2027, orang di Pantai Timur yang sering jadi mangsa banjir sudah tentu mula bimbang.
Pada zaman pemanasan global ini, penulis yang tinggal di Shah Alam, Selangor turut gundah gelana kerana fobia pada banjir besar 2021 masih belum padam, bukan hanya saya tetapi sudah tentu semua mangsa banjir yang lain.
Bagi kawasan yang telah dilanda pada tahun itu mereka akan sentiasa siap-saga dari segi mental dan keperluan mengalihkan kereta ke kawasan lebih selamat setiap kali melihat air longkang sudah berada di paras ‘berbahaya’.
Selain itu, fobia itu juga pada barangan dalam rumah apabila setiap kali hujan lebat tanpa henti, karpet dalam rumah akan dilipat dan diletakkan di kawasan selamat sekurang-kurangnya sehingga tahun depan.
Itulah antara fobia setiap kali hujung tahun, jika difikirkan siap-siaga orang Selangor mengalahkan penduduk di Pantai Timur.
Selain menjaga kediaman sendiri, fobia itu turut dirasai oleh ketua penduduk kawasan perumahan kerana akan memastikan kunci air dalam keadaan yang diharapkan dan tiada masalah berbangkit.
Hanya orang yang rumahnya pernah dinaiki air pada 2021 sahaja faham fobia itu tidak akan pernah padam sampai bila-bila, banyak kos dan tenaga terpaksa dikorbankan apabila kerosakan pintu, barang elektrik, kenderaan dan kos mencuci rumah yang berselut.
Ketika bencana besar 2021, rumah penulis digenangi air hampiri paras dada selepas hujan renyai selama tiga hari, banjir itu adalah perkara yang tidak dijangka kerana tidak pernah terlintas berlaku sebelum ini.
Selepas kejadian itu, penduduk di kawasan Seksyen 33 berdepan masalah ‘banjir termenung ‘hampir tiga hari pula.
Enam tahun berlalu, banjir di Selangor masih berlaku, pada masih peringkat awal MTL tahun ini juga banjir mengejutkan beberapa kawasan di Kampung Melayu Subang, laluan sekitar Bukit Subang, Puncak Alam dan beberapa kawasan berdekatan itu.
Sebenarnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah memberi amaran kesiapsiagaan melibatkan kawasan jarang berlaku banjir pada tahun ini.
Sebab itu kawasan Bukit Subang, Denai Alam di Shah Alam yang tidak pernah berlaku banjir tiba-tiba dikejutkan dengan banjir kilat.
Tidak dinafikan pembangunan perumahan yang terlalu banyak boleh menyumbang kepada sistem saliran dan perparitan yang tidak diuruskan dengan baik. Rumah terlalu banyak demi keuntungan tetapi ada perkara lain yang diabaikan. Hujan lebat hanya sejam tidak sepatutnya banjir kilat yang memburukkan keadaan.
Selama ini penulis menganggap Bukit Subang, Denai Alam adalah kawasan yang paling selamat kerana ketika banjir besar 2021 perumahan di situ sikit pun tidak terjejas.
Apa sudah jadi dengan Selangor terutama Shah Alam, berapa lama penduduk perlu ‘rasa ketakutan’ setiap kali hujan, apa sudah jadi dengan projek tembatan banjir atau apa jua projek menangani bencana itu. Rakyat hanya mahu hujan turun tanpa rasa takut atau fobia.
















