PETALING JAYA – Jemputan tetamu yang hendak menghadiri kenduri kahwin terpaksa ‘diangkut’ menggunakan traktor selepas laluan masuk ke dewan acara dinaiki air, dalam kejadian di sebuah ladang di Changkat Jong, Teluk Intan, Perak semalam.
Menerusi video dikongsikan pengguna TikTok Racoon memperlihatkan, para tetamu beratur beramai-ramai untuk menaiki traktor tersebut dan mereka dibawa terus ke dewan acara di dalam ladang itu.
“Bila jalan kata tak boleh, traktor kata boleh,” menurut kapsyen dikongsikan Racoon.
Seorang lagi pengguna TikTok Nashwan turut berkongsi menaiki traktor untuk ke tempat kenduri kahwin tersebut.
“Ada geng yang naik sekali? Dah macam lawatan geng marhaban,” katanya pada kapsyen serta menjawab pertanyaan pengguna TikTok lain.
Video itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai termasuk tetamu lain yang menghadiri acara tersebut.
“Senasib lah kita semalam. Pengalaman takkan dilupakan,” kata pengguna TikTok Leyanorleya2507.
“Pergi buat lawatan sambil belajar ke tu?,” kata Mum_Eyra.
“Hadir, pakai kasut tinggi naik trektor, menyala,” komen Inariduan. – KOSMO! ONLINE
















