PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak lelaki menangis di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas kereta mainan yang dipegangnya rosak dan patah, sekali gus mencuri perhatian pengguna media sosial.
Menerusi video dikongsikan pengguna Threads, Heylyzarashid memperlihatkan kanak-kanak lelaki tersebut yang juga anak buahnya sedang menangis sewaktu Perdana Menteri beramah mesra bersama pengunjung pada Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Shah Alam semalam.
“Simpan sini sebagai kenangan. PMX tengah menyantuni anak buah saya menangis. Kereta mainannya patah, menangis teresak-esak. Lepas tu PMX bagi duit RM50 suruh beli kereta baharu. Saya doakan semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah PMX,” katanya.
Pada video tersebut, Anwar dilihat sempat membelek kereta mainan kanak-kanak itu serta memujuknya dengan memberikan wang RM50 untuk membeli permainan baharu.
“Nanti beli satu lagi, okey atuk belikan satu lagi. Ni beli baru okey, beli baru yang lagi cantik, lagi besar okey,” katanya selepas menghulurkan wang tersebut.
Ibu kanak-kanak tersebut yang menggunakan akaun Threads Chientaerra turut meninggalkan komen pada video berkenaan.
“Saya ibu kepada budak lelaki dalam video ni. Terima kasih menyantuni anak saya dengan baik, anak saya dapat duit pun tetap menangis,” katanya yang memaklumkan anaknya berusia empat tahun.
Hantaran video itu juga mendapat pelbagai maklum balas positif daripada pengguna Threads lain.
“Nak menangis juga lah, dapat RM50, terbaik PMX,” komen Faris_ubiey berseloroh.
“Beruntungnya adik dapat duit daripada atuk PMX,” kata Noraini.z. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
















