LAKE ELSINORE, CALIFORNIA – Dua penerjun udara maut selepas payung terjun mereka berlanggar dan terbelit ketika berada di udara di negeri California, lapor akhbar Metro UK.
Kejadian berlaku sekitar pukul 11.45 pagi (waktu tempatan) di bandar Lake Elsinore, kira-kira 110 kilometer ke tenggara Los Angeles, baru-baru ini.
Pejabat Syerif Daerah Riverside berkata, kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Georgia Jean, 56, dan Levi Pimentel, 29, yang merupakan penerjun udara berpengalaman dan mempunyai lesen.
Mereka datang dari luar California untuk menyertai acara yang dianjurkan oleh Skydive Elsinore.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah selepas berlanggar pada ketinggian kira-kira lebih 45 meter dari permukaan tanah.
Mereka disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Inland Valley di Wildomar tidak lama kemudian.
“Pertembungan itu menyebabkan payung terjun mereka terbelit dan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan kritikal selepas terhempas ke tanah,” kata Skydive Elsinore dalam satu kenyataan.
Pengurus dan pemilik bersama Skydive Elsinore, Josh Hall berkata, tiada sebarang petunjuk yang membuktikan peralatan mereka gagal berfungsi.
Hall menegaskan bahawa pihaknya akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan sementara siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian kedua-dua mangsa. – AGENSI
















