fbpx
PASANGAN suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di KM 114.4 Lebuh Raya Utara-Selatan, Sungai Petani hari ini.

Pesara polis, isteri maut nahas dua motosikal, kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lagi motosikal dan kereta di Kilometer 114.4 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Suhaimi Saidin, 64, seorang pesara polis dan isterinya, Normah Hashim, 60, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Dua lagi mangsa berusia 18 dan 15 tahun yang menaiki sebuah motosikal masing-masing mengalami kecederaan parah dan ringan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, pemandu dan penumpang kereta jenis Perodua Bezza berusia 36 dan 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Bezza yang berhenti di lorong kecemasan untuk menukar pemandu mula bergerak keluar ke lorong kiri selepas urusan tersebut selesai.

“Kereta itu kemudian terlibat dalam perlanggaran dengan dua buah motosikal menyebabkan pasangan suami isteri yang menaiki motosikal jenis Yamaha XMax terjatuh ke lorong kanan.

“Pasangan suami isteri itu meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua lagi mangsa yang menaiki motosikal jenis XDV180 Evo masing-masing mengalami kecederaan parah dan ringan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN